
SHAH ALAM, 24 OGOS: Tindakan menyembunyikan kes amang seksual demi menjaga nama baik sekolah atau maruah keluarga hanya membuka ruang kepada jenayah itu berulang dan menyebabkan lebih ramai kanak-kanak menjadi mangsa.
Penganalisis jenayah dan pakar kriminologi bebas Datuk Shahul Hamid Abd Rahim berkata, kegagalan membuat aduan antara faktor kes sedemikian sukar dikesan lebih awal, terutama apabila individu yang mengetahui kejadian memilih berdiam diri kerana bimbang aib atau reputasi sekolah terjejas.
"Tak perlulah nak jadikan sekolah ini paling bersih, tidak ada apa-apa perkara yang berlaku. Kerana selagi mereka sorok kegiatan-kegiatan ini, makin lama makin menjadi.
"Apabila ada laporan, ada tangkapan dibuat dan tindakan diambil, lama-kelamaan sekolah itu akan jadi bersih. Begitu juga dengan keluarga, mereka tidak perlu malu kerana ini melibatkan masa depan anak-anak. Sekiranya tidak dilapor, anak akan jadi apa?... Mangsa," katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata tanggungjawab menyalurkan maklumat bukan hanya terletak pada mangsa, sebaliknya turut membabitkan rakan sebaya, guru, ibu bapa atau individu yang mengetahui atau mengesyaki berlakunya perlakuan seksual terhadap kanak-kanak.
"Bukan sahaja mangsa, mungkin kawan-kawan yang tahu atau nampak juga memainkan peranan untuk membuat aduan. Jangan kawan-kawan bersekongkol, diam. Bila ada aduan dibuat, tindakan dapat diambil," tegas beliau.

Dalam pada itu, Shahul Hamid menyambut baik cadangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memperketat tapisan terhadap guru sekolah agama, namun berpandangan semakan rekod jenayah sahaja mungkin tidak mencukupi sekiranya seseorang individu tidak pernah ditangkap sebelum ini.
Justeru, beliau mencadangkan proses pengambilan guru diperkukuh dengan ujian atau penilaian tambahan oleh pihak profesional bagi membantu mengenal pasti tingkah laku dan kesesuaian calon sebelum dibenarkan mengajar.
"Dalam pengambilan guru sama ada di jabatan kerajaan atau swasta, biasanya mereka akan melalui tapisan keselamatan termasuk polis dan sebagainya.
"Mungkin dari segi kes seksual, tiada rekod kerana sebelum ini tidak pernah ditangkap. Jadi, dalam pengambilan guru boleh ada latihan atau ujian yang dibuat dan saya rasa bahagian kaunseling mampu melaksanakan ujian tersebut bagi mengenal pasti kesesuaian guru untuk mengajar.
"Kalau JAIS merancang sedemikian, satu langkah yang baik. Mungkin boleh menjadi contoh kepada Jabatan Agama Islam Negeri lain atau sekolah lain supaya adanya ujian ataupun pemeriksaan biseksual dan sebagainya," katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan pihak sekolah supaya peka terhadap hubungan luar biasa antara guru dan murid, termasuk sekiranya seseorang pelajar menerima perhatian atau layanan istimewa secara berlebihan daripada individu tertentu.
Pada masa sama, katanya, ibu bapa disaran memerhatikan perubahan mendadak pada tingkah laku anak seperti menjadi murung, pendiam, enggan bercakap atau menunjukkan sikap berbeza daripada kebiasaan.
"Kalau anak-anak berada dalam keadaan kemurungan, tiba-tiba sikap dan tingkah lakunya berlainan daripada hari biasa, ibu bapa kena lihat dan tanya kenapa keadaan mereka berubah.
"Mungkin ada sesuatu yang berlaku di sekolah. Sebab itu kena tanya dan ambil tahu," katanya.
Menurut Shahul Hamid, pencegahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak memerlukan kerjasama menyeluruh antara sekolah, guru, ibu bapa, rakan sebaya, masyarakat dan pihak berkuasa supaya sebarang kejadian dapat dikesan serta tindakan diambil lebih awal.
Beliau turut mencadangkan rondaan berkala polis komuniti di sekolah bagi meningkatkan pengawasan dan mengurangkan risiko berlakunya jenayah.
"Kalau ada perkara berlaku, orang perseorangan yang tahu boleh terus pergi kepada polis untuk membuat aduan. Inilah antara perkara penting untuk sekolah dan masyarakat menghindari kejadian seperti ini daripada terus berlaku," katanya.






