Guru prasekolah didakwa amang seksual budak lelaki lapan tahun

12 Aug 2026 • 11:08 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Guru prasekolah didakwa amang seksual budak lelaki lapan tahun

SEREMBAN: Seorang guru prasekolah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, April lalu.

Tertuduh, T. Muhamad Shazali T. Sharipudin, 42, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Tasnim Abu Bakar.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dengan cara memasukkan lidah ke dalam mulut kanak-kanak berkenaan bagi tujuan seksual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 10 pagi pada 1 April dan 9 pagi pada 3 April lalu ketika berada di dalam kelas prasekolah di sebuah sekolah di Rembau.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi, manakala tertuduh diwakili peguam, Syed Amirul Syed Edros.

Syed Amirul memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan yang rendah dan bersesuaian dengan kemampuan anak guamnya.

Katanya, tertuduh kini telah dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Rembau dan tiada risiko untuk melarikan diri.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh atau wakilnya tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Selain itu, tertuduh dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran kediamannya sehingga kes selesai serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 15 September depan untuk sebutan semula kes. –UTUSAN

The post Guru prasekolah didakwa amang seksual budak lelaki lapan tahun appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved