Pakej 5G Rahmah Diperkenalkan Secara Rasmi – RM60 Sebulan Untuk Data 60GB, Kontrak 24 Bulan

TechnologyDigital
29 Aug 2023 • 3:13 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pada awal bulan ini, Kementerian Komunikasi Digital Malaysia telah memperkenalkan Pakej 5G Rahmah yang membolehkan semua rakyat Malaysia untuk mendaftar pelan pascabayar 5G pada harga RM60 dengan had data bulanan 60GB.

image is not available

Dalam pada itu, mereka juga boleh membeli peranti pintar 5G Honor X90 Lite 5G dan Samsung Galaxy A14 5G pada harga RM240 sahaja. Hari ini, sewaktu acara pengumuman rasmi Pakej 5G Rahmah ini, Fahmi Fadzil, menteri Komunikasi Digital telah mengesahkan beberapa butiran lanjut mengenai pelan ini.

Ini termasuklah nama-nama syarikat pembekal perkhidmatan telekomunikasi yang akan mengambil bahagian dalam pakej pascabayar ini, termasuklah CelcomDigi, TM melalui Unifi Mobile, Maxis, U Mobile dan YTL Communications melalui Yes 5G.

image is not available

Pelan Pakej 5G Rahmah akan diperkenalkan masing-masing oleh syarikat-syarikat telekomunikasi ini bermula 31 Ogos 2023 sehingga 31 Disember 2023 melalui laman sesawang, dan akan hadir dengan kontrak selama 24 bulan selepas pendaftaran. Dalam pada itu, peranti pintar 5G yang dibeli dibawah pakej ini juga akan hadir dengan waranti selama 24 bulan juga.

Untuk mereka yang tergolong dalam kumpulan ekonomi B40, 100 ribu pembeli pertama dalam pelan ini layak membeli peranti-peranti ini juga pada harga RM120. Bagi penjawat awam yang sudahpun melanggan pelan pascabayar sedia ada, mereka juga layak menerima rebat RM10 setiap bulan, dan akan bermula 16 September ini.

Rebat ini tidak terpakai sekiranya pelan telekomunikasi penjawat awam adalah dibawah langganan berkumpulan, kerana untuk pelan-pelan tersebut sudahpun hadir dengan rebat dan diskaun tersendiri.