
ISLAMABAD – Pihak berkuasa Pakistan menahan 258 warga asing, termasuk 40 rakyat China susulan serbuan ke atas sebuah pusat panggilan penipuan ‘scam’ di Islamabad.
Mereka mengendalikan pusat panggilan penipuan di kawasan perumahan pinggir Islamabad, Gulberg Green.
“Kesemuanya datang ke Pakistan menggunakan visa pelancong dan tidak dibenarkan melakukan apa yang mereka sedang lakukan,” kata seorang pegawai Agensi Siasatan Persekutuan kepada AFP.
Menurutnya, kesemua yang ditangkap termasuk 170 rakyat Vietnam, warganegara Malaysia dan ‘negara-negara Asia lain’ kini ditahan di penjara Rawalpindi.
Pegawai sama menambah, semua kedutaan berkaitan telah dimaklumkan dan butiran mengenai pertuduhan akan dikeluarkan dalam masa beberapa hari lagi memandangkan siasatan masih dijalankan.
Keputusan yang mungkin diambil termasuk mengusir mereka yang terlibat, tambah pegawai itu. Media tempatan menyebut semua warga asing itu ditahan pada minggu lepas.
AFP telah meminta kementerian luar China untuk memberikan ulasan mengenai penahanan tersebut.
Serbuan serupa pernah dilakukan pada Julai 2025, di mana 149 orang termasuk 71 warga asing yang kebanyakannya rakyat China ditangkap atas dakwaan bekerja untuk ‘pusat panggilan besar melibatkan skim cepat kaya dan penipuan pelaburan’. – AFP
The post Pakistan berkas 258 ‘scammer’ termasuk rakyat Malaysia appeared first on Kosmo Digital.





