
PETALING JAYA – Pakistan dan India dilihat antara lokasi operasi baharu yang menjadi perhatian sindiket penipuan antarabangsa berikutan tekanan penguatkuasaan dan operasi besar-besaran dilakukan terhadap pusat scam di Myanmar, Kemboja dan Laos.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, perubahan lokasi itu menunjukkan sindiket scammer semakin licik dan mempunyai keupayaan untuk memindahkan atau meluaskan operasi merentasi sempadan.
Menurut beliau, MHO menerima maklumat dan aduan mengenai operasi seumpama itu di beberapa negara termasuk Pakistan, India dan beberapa negara di Afrika.
“MHO melihat terdapat perubahan corak dalam operasi scam antarabangsa. Apabila tindakan penguatkuasaan semakin ketat dilakukan di beberapa lokasi seperti Myanmar, Kemboja dan Laos.
“Terdapat kemungkinan sebahagian sindiket mula memindahkan atau memperluaskan operasi mereka ke negara lain.
“Perkembangan ini menunjukkan sindiket scam antarabangsa mempunyai keupayaan untuk bergerak dari satu negara ke negara lain bagi meneruskan operasi mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Beliau berkata, Pakistan khususnya perlu diberi perhatian kerana pihaknya pernah menerima aduan rakyat Malaysia dibawa ke negara tersebut untuk bekerja sebelum dipercayai dieksploitasi atau dikaitkan dengan operasi scam.
“Berdasarkan maklumat dan aduan yang diterima, Pakistan menjadi antara destinasi yang dikaitkan dengan operasi scam dan eksploitasi rakyat Malaysia.
“Kita tidak mengatakan Pakistan pusat scam terbesar atau pusat utama dunia, tetapi kita mempunyai maklumat dan aduan yang menunjukkan wujudnya operasi atau pusat scam di Pakistan yang menyasar dan melibatkan rakyat Malaysia,” katanya.
Kenyataan itu dibuat susulan laporan pihak berkuasa Pakistan menahan seramai 258 warga asing termasuk 40 rakyat China dalam serbuan ke atas sebuah pusat panggilan penipuan di Gulberg Green, Islamabad, baru-baru ini.
Dalam serbuan itu, seramai 170 warga Vietnam, selain Malaysia dan beberapa negara Asia lain dipercayai bekerja di pusat tersebut dengan menggunakan visa pelancong.
Menurut Hishamuddin, perkembangan itu tidak boleh dipandang ringan kerana terdapat kemungkinan sindiket sedang mencari lokasi baharu untuk meneruskan operasi mereka.
Jelas beliau, sindiket lazimnya mencari lokasi untuk menjalankan operasi pada kos bersesuaian, mudah mendapatkan tenaga kerja, kemudahan komunikasi, selain kesan risiko.
“Mereka juga mempunyai rangkaian yang membolehkan tenaga kerja dibawa dari satu negara ke negara lain,” katanya.
Beliau berkata, risiko rakyat Malaysia direkrut ke negara itu wujud sekiranya sindiket mendapati lokasi tersebut sesuai untuk menjalankan operasi dan mendapatkan tenaga kerja asing.
Sehubungan itu, Hishamuddin menasihatkan rakyat Malaysia agar lebih berhati-hati dengan tawaran pekerjaan di luar negara yang menawarkan gaji terlalu tinggi, tiket penerbangan percuma atau proses pengambilan yang terlalu mudah.- KOSMO! ONLINE
The post Sindiket ‘scammer’ berpindah ke Pakistan, India appeared first on Kosmo Digital.






