
Pakistan Sedia Jadi 'Tuan Rumah' Bincang Konflik Asia Barat
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Iran ketika menteri luar dari Arab Saudi, Mesir dan Turkiye berhimpun di Islamabad bagi menghadiri rundingan berkaitan konflik di Asia Barat.
Menurut Kementerian Luar Pakistan, para diplomat dijadualkan menyertai rundingan selama dua hari bermula hari ini, yang merangkumi pelbagai isu termasuk usaha meredakan ketegangan di rantau berkenaan.
Kerajaan pimpinan Sharif dilihat memainkan peranan penting sebagai pemudah cara antara Iran dan Amerika Syarikat susulan konflik berpanjangan, termasuk bertindak sebagai perantara dalam penyampaian mesej antara kedua-dua pihak.
Sharif memaklumkan beliau telah mengadakan perbualan telefon secara terperinci dengan Pezeshkian awal hari ini selama lebih satu jam, sebagai sebahagian daripada persiapan menjelang rundingan yang berlangsung hari ini dan esok.
Presiden Iran rakamkan penghargaan kepada Pakistan
Rundingan berkenaan akan dipengerusikan oleh Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar, yang sebelum ini memaklumkan bahawa Iran bersetuju membenarkan tambahan 20 kapal dari Pakistan atau dua kapal setiap hari melalui Selat Hormuz.
“Dialog, diplomasi dan langkah membina keyakinan seperti ini adalah satu-satunya jalan ke hadapan,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Sharif berkata beliau telah memaklumkan kepada Presiden Iran mengenai usaha jangkauan diplomatik Pakistan yang sedang dijalankan melibatkan Amerika Syarikat serta negara-negara Teluk dan Islam bagi memudahkan dialog dan meredakan ketegangan.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian memuji inisiatif Islamabad dan merakamkan penghargaan kepada Pakistan atas peranan sebagai pengantara dalam usaha menghentikan pencerobohan terhadap republik Islam itu.
Iran telah menyampaikan maklum balas terhadap pelan 15 perkara
Kedua-dua pemimpin dilaporkan telah berhubung beberapa minggu lalu berhubung konflik tersebut, termasuk komitmen Pakistan untuk membantu menamatkannya.
Islamabad mempunyai hubungan lama dengan Tehran serta hubungan rapat dengan negara-negara Teluk.
Dalam masa sama, Sharif dan ketua tentera Pakistan, Asim Munir turut menjalin hubungan peribadi yang baik dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Sementara itu, Menteri Luar Jerman, Johann Wadephul pada Jumaat berkata beliau menjangkakan pertemuan langsung antara AS dan Iran di Pakistan akan berlangsung dalam masa terdekat tanpa mendedahkan sumber.
Walaupun Tehran tidak mengesahkan rundingan rasmi dengan Washington, Iran dilaporkan telah menyampaikan maklum balas terhadap pelan 15 perkara yang dicadangkan oleh Trump bagi menamatkan konflik melalui Islamabad.
Baca juga:


