
ISKANDAR PUTERI – Bahang pertembungan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea, mula dirasai apabila ribuan peminat membanjiri Stadium Sultan Ibrahim, di sini sejak pukul 3 petang tadi.
Bukan sahaja penyokong dari seluruh Johor, malah peminat dari beberapa negeri lain termasuk Singapura, Thailand dan Indonesia turut hadir bagi menyaksikan pertemuan yang dianggap cukup istimewa itu.
Kehadiran mereka menjadikan kawasan sekitar stadium meriah dengan lautan jersi JDT dan Chelsea, selain kibaran bendera serta pelbagai aksesori kelab yang dibawa sebagai tanda sokongan kepada pasukan kesayangan masing-masing.
Ada yang hadir seawal petang semata-mata untuk merasai sendiri kemeriahan perlawanan tersebut, selain tidak mahu terlepas peluang menyaksikan aksi pemain bertaraf dunia di Stadium Sultan Ibrahim.
Perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada pukul 8 malam itu menjadi perhatian selepas Chelsea memilih Stadium Sultan Ibrahim sebagai antara lokasi jelajah pramusim mereka di rantau Asia Pasifik.
Pertemuan JDT-Chelsea itu sekali gus menjadi antara acara bola sepak paling dinanti-nantikan di Johor tahun ini, terutama selepas Harimau Selatan mencipta nama sebagai kuasa baharu bola sepak Asia.
Lebih daripada sekadar perlawanan, aksi berkenaan dilihat sebagai pentas untuk memperlihatkan kemampuan Johor menganjurkan acara sukan bertaraf antarabangsa, selain mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai antara hab bola sepak utama di rantau ini. – KOSMO! ONLINE
The post Peminat banjiri Stadium Sultan Ibrahim, bahang JDT-Chelsea mula terasa appeared first on Kosmo Digital.





