SHAH ALAM, 21 FEB: Pameran Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) sempena Persidangan Dewan Negeri Selangor di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di sini berjaya menarik 3,000 pengunjung.
Pengurus Acara Pelancongan Fokus Tourism Selangor Mohamad Faroul Mustafa berkata pameran tiga hari sejak 19 Februari menawarkan pelbagai jenis produk pelancongan di Selangor.

“Pameran ini turut menghimpunkan 20 pengusaha hotel, 10 taman tema, hospital dan banyak lagi tarikan yang menawarkan pelbagai potongan menarik.
“Tujuan kita adalah untuk mempromosikan TMS2025 supaya lebih ramai tahu mengenai tarikan pelancongan di Selangor,” katanya ditemui hari ini.

Terdahulu, kira-kira 400 pek buah-buahan tempatan hasil pertanian keluaran Selangor seperti buah naga, nanas, jumbu batu dan nangka diedarkan di Wisma Dewan Negeri Selangor hari ini.
Pada 19 Februari, Tourism Selangor menandatangani memorandum kolaborasi bersama empat syarikat terkemuka bagi menyemarakkan lagi kempen TMS2025.
Memorandum dimeterai bersama Sony Malaysia, Batik Air, GL Play by Gamuda Land dan Alpha IVF & Women Specialist.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerjasama itu dijangka memberi dampak positif terhadap kempen TMS2025 sekali gus mencapai sasaran kehadiran lapan juta pelancong.

The post Pameran TMS2025 tarik 3,000 pengunjung, tawar pelbagai produk pelancongan appeared first on Selangorkini.
