Panas Dakwaan Logo Ada Kalimah Allah, Rupanya Johor Pernah Larang Penjualan Barang We Bare Bears

29 Apr 2024 • 4:04 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Isu logo kelihatan seperti kalimah Allah semakin hari semakin banyak dibangkitkan, malah boleh disifatkan umpama cedawan yang tumbuh selepas hujan.

Jika sebelum ini tular mengenai stoking yang jelas tertera kalimah Allah yang dijual di sebuah cawangan kedai serbaneka KK Super Mart sehingga pengasasnya menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk memohon ampun.

Tidak lama kemudian, sohor pula isu logo pada tapak kasut wanita jenama Vern’s yang juga didakwa kelihatan seperti kalimah Allah di dalam tulisan Arab sehingga memaksa syarikat kasut itu memohon maaf dan memberi penjelasan.

Tular logo We Bare Bears kelihatan seperti kalimah Allah

Terbaharu, tular pula di media sosial sebahagian font daripada logo jenama siri kartun terkemuka, ‘We Bare Bears’ yang didakwa seakan kalimah Allah.

Perkara tersebut mula tular di media sosial selepas seorang individu memuat naik hantaran di laman Facebook Kuala Terengganu Residen dengan memberi pesanan kepada orang ramai untuk berhati-hati dan memeriksa terlebih dahulu sebelum membeli sesuatu barangan di sebuah pusat beli belah di sana.

“Saya nak bagi tahu semua warga Terengganu, kalau nak beli baju anak-anak di… hati-hati sikit. Ini kena di batang hidung saya sendiri masa beli tak tengok elok-elok tag di baju.

“Cuba setmung (anda semua) tengok elok-elok lambang itu memang betul nama Allah SWT,” tulisnya.

Tulisan ‘We’ seakan kalimah Allah, netizen di X pakat kecam individu terbabit

Di dalam posting sama, individu tersebut menunjukkan jenis font yang digunakan pada tulisan ‘We’ yang dakwanya kelihatan seperti kalimah Allah.

Hantaran tersebut kemudiannya tular dan sohor di aplikasi X sehingga menimbulkan kecaman orang ramai terhadap individu terbabit yang disifatkan sebagai membuat tuduhan tak berasas.

Malah kami sendiri merasakan kalimah Allah tersebut tidak lengkap seperti yang didakwanya memandangkan tidak terdapat huruf ‘Alif’ pada bahagian depan.

Namun semakan kami mendapati isu logo ‘We Bare Bears’ yang dikatakan mirip seperti kalimah Allah ini bukanlah sesuatu yang baharu.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor larang jual dan guna barang We Bare Bears

Pada Mac 2016 yang lalu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor telah melarang penjualan dan penggunaan kesemua barangan yang tertera perkataan We Bare Bears.

Ini selepas mereka mengesahkan perkataan ‘We’ pada barangan We Bare Bears itu menyerupai kalimah Allah.

Namun difahamkan, barangan ini adalah produk yang dihasilkan bersama syarikat retail global, Miniso.

“Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengesahkan perkataan We pada barangan MINISO BARE BEARS tersebut menyerupai kalimah Allah.”

Percaya ada unsur penghinaan

Tambah jawatankuasa itu lagi, mereka juga percaya adanya unsur penghinaan terhadap kalimah Allah itu.

“Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor juga percaya adanya unsur-unsur penghinaan terhadap kalimah Allah yang boleh menyinggung perasaan dan menimbulkan kemarahan umat Islam,” katanya.

Di dalam hujah sama, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor turut meminta pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang perlu bagi “menyekat barangan tersebut daripada dijual, diedar, dipamer, dipromosi, dibeli dan dimiliki oleh orang awam” seterusnya menarik balik barangan berkenaan daripada dipasarkan di Johor.

Bagaimanapun, paparan keputusan fatwa bertarikh 22 Mac 2016 itu tidak diwartakan.

Setakat ini kami tidak mengetahui sama ada larangan tersebut sudah ditarik semula atau masih lagi berjalan. Kami juga tidak menemui sebarang larangan sama di negeri-negeri lain.

image is not available