Bersempena dengan acara Computex Taipei yang akan berlangsung pada minggu depan, Acer Malaysia telah mengadakan sebuah acara kecil untuk pihak media tempatan melihat sejumlah produk-produk mereka lebih awal.

Salah satu produk yang diperkenalkan ialah komputer riba gaming Acer Predator Helios Neo 14 AI. Ia merupakan komputer riba gaming berkuasa yang hadir dengan kuasa gaming yang hebat melalui gandingan CPU Intel Arrow Lake H dan siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5000 terbaru.
Rekaan
Jika anda pernah melihat atau menggunakan komputer riba Acer Predator Helios Neo 14 sebelum ini, rekaan komputer riba ini tidak berubah begitu banyak. Ia masih menggunakan rangka aluminum yang sama, dan tampil dengan paparan skrin OLED bersaiz 14.5 inci dengan resolusi WQXGA+ (2560×1600) bersama-sama dengan kadar segar semula 120Hz dan boleh mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3.

Dari segi pilihan palam pula, Predator Helios Neo 14 AI ini hadir dengan dua palam Thunderbolt 4, dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam HDMI 2.1, satu palam audio 3.5mm dan satu pembaca kad MicroSD terbina.
Dengan menggunakan rangka aluminum, walaupun dengan semua komponen berkuasa dan juga sistem penyejukan yang digunakan utuk menyejukkan komputer riba ini, kami diberitahu bahawa Predator Helios Neo 14 AI ini tetapi mempunyai berat kurang dari 2kg.

Komputer riba ini juga mempunyai papan kekunci dengan pencahayaan LED berwarna biru, dan sayangnya bukan RGB tidak seperti pilihan komputer riba Acer Predator lain yang lebih besar.
Spesifikasi
Predator Helios Neo 14 AI tampil menggunakan gabungan cip pemprosesan Intel dan NVIDIA seperti biasa, dimana ia dikuasakan cip Intel Core Ultra 9 285H dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5070, bersama-sama dengan 32GB memori LPDDR5X dan juga storan SSD PCIe4 sebesar 2TB.

Untuk sebuah komputer riba bersaiz 14 inci, spesifikasi Predator Helios Neo 14 AI dilihat cukup berkuasa untuk menggerakkan pelbagai jenis permainan komputer moden tanpa masalah dan dalam cara yang boleh memanfaatkan paparan OLED yang digunakan.

Komputer riba ini juga menggunakan sistem penyejukan Vortex Flow yang menggabungkan paip haba Vortex dan kipas penyejukan Aeroblade generasi ke-5 dan juga cecair penyejuk logam (liquid metal thermal grease) yang akan membantu dalam mengalihkan haba dari komponen CPU dan GPU kepada paip haba dan juga kipas penyejukan dengan lebih cekap.
Apabila kami melihat komputer riba tersebut, kami belum dibenarkan untuk menguji prestasinya, kerana menurut pihak Acer, perisian pemandu untuk kad grafik belum dioptimasikan lagi.
Penutup
Jika anda mencari sebuah komputer riba gaming bersaiz padat dengan spesifikasi berkuasa, Acer Predator Helios Neo 14 AI ini boleh menjadi salah satu daripada pilihan anda, khususnya dengan gabungan cip Intel dan NVIDIA yang berkuasa dan juga penggunaan panel OLED dengan kadar segar semula tinggi.

Rekaannya yang padat juga membolehkan pengguna untuk membawanya ke mana-mana sahaja, rumah, pejabat ataupun acara-acara seperti LAN Party.
Acer Malaysia telah mengesahkan bahawa komputer riba ini akan memasuki pasaran tempatan kelak, tetapi tidak memberitahu lagi bilakah ia akan berlaku. Kemungkinan besar ia akan tiba sekitar Jun ataupun Julai tahun ini.

