Acer turut hadir dengan dua pilihan komputer riba baharu dalam siri Predator menerusi Predator Triton 14 AI dan Predator Helios Neo 14 AI di acara COMPUTEX 2025. Komputer riba direka untuk pengguna yang mengutamakan prestasi tinggi terutamanya dalam permainan dan aplikasi yang memerlukan kuasa CPU berkuasa.

Predator Triton 14 AI dilengkapi dengan Intel Core Ultra 9 Processor 288V, bersama pilihan memori 32GB RAM LPDDR5X-8533 dan storan PCIe 4.0 sehingga 2TB. Ia turut menampilkan NVIDIA GeForce RTX 5070 untuk pengalaman permainan yang lancar bersama grafik mengagumkan.
Skrin OLED 14.5-inci dengan resolusi 2.8K, nisbah aspek 16:10, kadar segar semula 120Hz serta masa tindak balas 1ms GTG disediakan. Paparan ini menyokong 100% gamut warna DCI-P3 dan, mempunyai Calman Verified bagi ketepatan warna yang lebih baik. Bateri 76Wh digunakan menyokong teknologi 6th Gen AeroBlade Metal Fans untuk prestasi cukup baik tanpa isu pemanasan melampau.

Sementara itu, Predator Helion Neo 14 AI menawarkan dua pilihan CPU sama ada Intel CoreTM Ultra 9 Processor 285H dan Intel Core Ultra 7 Processor 255H, serta pilihan GPU RTX 5060 atau RTX 5070. Pilihan memori pula sehingga 32GB RAM LPDDR5X-7467 dan storan Storan PCIe 4.0 sehingga 2TB. Skrin OLED 14.5-inci 16:10 OLED 2.8K dengan kadar segar semula 120Hz atau IPS WQXGA (2560×1600) 165 Hz turut disediakan bergantung kepada pilihan pengguna.
Kedua-dua komputer riba ini akan mula dijual pada Julai 2025 dengan harga Triton 14 AI bermula €2,999 (~RM14,446) dan Helios Neo 14 AI bermula dari €1,699 (~RM8,184).

