PAU UMNO 2026: Lapan Tahun Mencari Jalan Pulang

LocalPolitics
4 Sep 2026 • 12:44 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PAU UMNO 2026: Lapan Tahun Mencari Jalan Pulang

LAPAN tahun bukan tempoh yang pendek. Dalam politik, lapan tahun cukup untuk sebuah parti kehilangan kuasa, melihat kerajaan bertukar tangan, menyaksikan gabungan politik bersilih ganti dan akhirnya kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan. Itulah perjalanan Barisan Nasional dan UMNO sejak 2018.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 hadir dalam suasana yang berbeza. Ia bukan sekadar medan membahaskan masa depan parti atau mengulang slogan kebangkitan. Lebih penting, PAU kali ini perlu menjadi ruang untuk UMNO melakukan political stock-taking,  melihat dengan jujur di mana parti berada selepas lapan tahun mencari jalan pulang.

UMNO kehilangan kerajaan pada 2018. Selepas itu, parti melalui pelbagai episod politik, termasuk perubahan gabungan, PRU15 dan akhirnya kembali ke pentas kerajaan melalui Kerajaan Madani.

Namun, persoalan yang lebih besar masih belum selesai. Adakah UMNO sekadar kembali ke kerajaan, atau sudah kembali mendapat kepercayaan rakyat?

Dua perkara ini tidak sama.

Kedudukan dalam kerajaan boleh dicapai melalui rundingan politik dan pembentukan majoriti.tetapi kepercayaan rakyat hanya boleh dibina melalui kerja, prestasi dan keyakinan.

Dalam konteks ini, kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, perlu dilihat secara lebih objektif. Kepimpinannya melalui tempoh yang sangat mencabar selepas kekalahan 2018. Tidak semua keputusan disenangi semua pihak, tetapi satu perkara tidak boleh dinafikan, UMNO masih berada dalam gelanggang.

Politik tidak selalunya dimenangi melalui konfrontasi terbuka. Ada waktunya ia menuntut kesabaran, rundingan dan kemampuan membaca perubahan. Genggam bara api biar sampai jadi arang. Namun, selepas lapan tahun bertahan, persoalannya ialah: ke mana UMNO mahu pergi selepas ini?

Beberapa perkembangan pilihan raya negeri menunjukkan UMNO dan BN masih mempunyai electoral base yang tidak boleh dipandang ringan. Apabila organisasi, calon dan jentera bergerak secara tersusun, parti masih mampu mencatat keputusan yang baik.

Ini bermakna UMNO belum mati tetapi belum mati tidak bermakna sudah kembali kuat. Di sinilah PAU perlu melihat realiti dengan mata yang terbuka.

Perkembangan hubungan dengan PAS juga menarik perhatian. Dua parti yang pernah bersama dalam Muafakat Nasional, kemudian menjadi pesaing sengit dalam politik Melayu, kini kembali mempunyai ruang untuk berdialog. Jika hubungan ini berkembang, ia tidak boleh sekadar bersandarkan nostalgia. Musuh semalam tidak semestinya menjadi musuh selamanya, tetapi rakan hari ini juga tidak semestinya kekal rakan esok.

Kerjasama mesti dibina atas kepentingan strategik, kepercayaan dan disiplin, bukan sekadar pembahagian kerusi.

Dalam politik, kadangkala matematik kemenangan lebih penting daripada sejarah permusuhan.

Pada masa sama, konsep “Rumah Bangsa” perlu diperluaskan menjadi “Rumah Malaysia”. UMNO perlu mempunyai akar yang kukuh dalam perjuangan Melayu, tetapi pada masa sama mampu membina jambatan dengan masyarakat yang lebih luas. Inklusif tidak bermaksud kehilangan identiti. Akar yang kuat tidak perlu takut kepada dahan yang berkembang.

Cabaran paling besar selepas ini ialah PRU16. Jangan jadikan pilihan raya sebagai medan menyelesaikan persaingan dalaman. Jangan pilih calon kerana siapa paling rapat dengan ketua bahagian atau paling kuat dalam sesuatu kem. Pilih calon yang boleh menang dan, lebih penting, calon yang layak untuk menang. Integriti, penerimaan rakyat, rekod perkhidmatan dan kemampuan bekerja mesti mengatasi kepentingan puak.

Sejarah UMNO menunjukkan satu perkara yang pahit untuk diakui: Ada kalanya parti tidak kalah kerana lawan terlalu kuat. Parti kalah kerana kelemahan sendiri terlalu besar. Perpecahan, politik kem, sabotaj dan perebutan pengaruh adalah musuh yang lebih berbahaya kerana ia datang dari dalam rumah sendiri.

Sebab itu PAU 2026 tidak boleh sekadar membakar semangat. Semangat tanpa strategi hanya menjadi api yang cepat padam. UMNO perlu menentukan jenis parti yang mahu ditawarkan kepada pengundi khususnya generasi muda yang tidak lagi terikat kepada sejarah seperti generasi terdahulu. Mereka tidak hanya mahu mendengar jasa semalam. Mereka mahu tahu apa yang UMNO boleh lakukan untuk kehidupan mereka esok.

Jasa adalah sejarah. Kepercayaan ialah mandat masa depan. Lapan tahun selepas 2018, UMNO masih berdiri tetapi berdiri belum bermakna sudah menang. Presiden dan pasukannya mencuba beberapa formula dan mendepani cabaran semasa. Parti perlu kembali mendapatkan sesuatu yang lebih penting daripada kedudukan dalam kerajaan iaitu kepercayaan rakyat. Ini adalah langkah meraih undi dan sokongan kekal.

Maka PAU 2026 seharusnya menjadi titik untuk menutup buku luka lama tanpa melupakan pengajarannya. Jangan hidup dalam bayang-bayang 2018. Luka perlu menjadi guru, bukan penjara kerana akhirnya, UMNO bukan sekadar perlu mencari jalan kembali ke Putrajaya sepenuhnya.

UMNO perlu mencari jalan kembali ke hati rakyat dan untuk kembali menjadi parti yang menentukan kerajaan, UMNO bukan sahaja perlu mengalahkan lawan di luar. UMNO dan Barisan Nasional terlebih dahulu mesti menang terhadap kelemahan yang ada dalam dirinya sendiri. Itulah pertempuran sebenar; dan itulah jalan pulang.

 

PROFESOR DATUK DR. SIVAMURUGAN PANDIAN

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan

Universiti Sains Malaysia

The post PAU UMNO 2026: Lapan Tahun Mencari Jalan Pulang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved