Tidak lama selepas Qualcomm memperlihatkan cip pemprosesan terbaru dan paling berkuasa mereka, Qualcomm Snapdragon 8 Elite, sejumlah jenama peranti pintar telah memperlihatkan penawaran terbaru mereka yang menggunakan cip pemprosesan ini, dan salah satu daripada mereka ialah ASUS ROG Phone 9, yang sama seperti model sebelum ini, hadir dengan tiga model yang menawarkan memori dan storan berbeza.

ASUS Malaysia telah menghantar salah satu daripada peranti pintar baru ini, iaitu ASUS ROG Phone 9 Pro untuk kami uji sebelum pelancarannya di pasaran Malaysia kelak, dan dalam artikel pandang pertama ini, kami akan memperlihatkan kepada anda apa yang lain (dan sama) mengenai peranti ini.
Rekaan Dan Spesifikasi
ASUS ROG Phone 9 Pro Skrin 6.78″ AMOLED, 185Hz
1080 x 2400 pixelsPemproses Snapdragon 8 Elite (3 nm) Cip 2x 4.32 GHz – Oryon (Phoenix L)
6x 3.53 GHz – Oryon (Phoenix M)Cip Grafik Adreno 830 RAM 16GB LPDDR5 Muatan Dalaman 512GB UFS 4.0 Kamera Utama 50 MP, f/1.9, (lebar), PDAF
32 MP, f/2.4, (telefoto)
13 MP, f/2.2 (telefoto)Kamera Swafoto 32MP f/2.5 Bateri 5800 mAH
Berwayar 65W
Nirwayar 15WSIM/Telefoni Dwi SIM nano / 5G NFC Ya Bicu Audio Ada Kalis Air IP68 Sistem Imbasan Pengimbas cap jari
Imbasan Wajah
Bermula dengan rekaan ASUS ROG Phone 9 Pro, secara ringkasnya ia hadir dengan rekaan dan juga saiz skrin yang sama seperti model sebelumnya, ASUS ROG Phone 8 Pro. Ia tampil dengan paparan skrin AMOLED bersaiz 6.78 inci dengan resolusi 2400×1080 dan nilai kecerahan setinggi 2500 nit.

Satu-satunya perbezaan utama yang hadir ialah pada kadar segar semula skrin, dimana siri ROG Phone 9 semuanya hadir dengan kadar segar semula 185Hz pada semua model peranti dalam siri ini. Sama seperti ASUS ROG Phone 8, siri peranti ROG Phone terbaru ini juga hadir dengan penilaian kalis debu dan air IP68, menjadikannya sebuah peranti yang tahan lasak juga.
Seperti yang dikatakan sebelum ini, siri peranti ASUS ROG Phone 9 dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Elite. Untuk model Pro, ia juga tampil dengan jumlah memori LPDDR5X 16GB dan juga storan UFS 4.0 terbina sebesar 512GB.

Modul kamera pada ROG Phone 9 Pro juga memperlihatkan rekaan yang hampir sama, tetapi model kamera baru ini menggunakan sensor Sony Lytia 700 50MP terbaru yang hadir dengan sistem 6-axis Hybrid Gimbal Stabilizer 4.0 yang menjanjikan gambar yang lebih stabil dan juga katup yang lebih pantas walaupun dengan gegaran yang teruk.
Penggunaan sistem kamera seperti ini dilihat sebagai usaha ASUS untuk menjadikan siri ROG Phone sebagai sebuah peranti pintar premium yang mempunyai kemampuan keseluruhan yang lebih baik, dan bukan sahaja peranti pintar khusus untuk gaming semata-mata.

Keunikan siri peranti ASUS ROG Phone juga diperlihatkan dalam beberapa cara yang lain, seperti penggunaan dua palam pengecasan USB di bahagian bawah dan juga di bahagian sisi peranti. Perkara ini nampaknya dikekalkan pada semua peranti ASUS ROG Phone 9, bersama-sama dengan palam audio 3.5mm untuk sambungan fon telinga berwayar dengan teknologi audio Dirac Virtuo for Headphone yang diperlihatkan pada model sebelum ini.
Satu lagi ciri unik ialah paparan skrin AniMe Vision di bahagian belakang peranti, khusus untuk model ASUS ROG Phone 9 Pro dan ASUS ROG Phone 9 Pro Edition. Kali ini, paparan skrin AniMe Vision yang ditawarkan adalah lebih besar dengan 648 titik LED yang bukan sahaja mampu menyokong imej yang lebih besar, tetapi juga teks dalam bahasa Mandarin dan Jepun.

Bukan itu sahaja, khusus untuk dua peranti ROG Phone 9 Pro dan ROG Phone 9 Pro Edition, paparan AniMe Vision ini hadir dengan kebolehan untuk memainkan beberapa permainan ringkas yang ditawarkan melalui perisian Armoury Crate yang juga merumahkan pelbagai tetapan untuk menambahbaik prestasi peranti ini.
Kawalan untuk permainan-permainan ini dilakukan melalui butang bahu AirTrigger. Anda akan perlu membiasakan diri anda dengan perisian Armoury Crate untuk memainkan permainan-permainan ini, tetapi ia tidak terlalu sukar untuk dicari selepas anda membelek sedikit menu perisian tersebut.

Mungkin satu keputusan aneh yang masih dibuat untuk peranti ini ialah walaupun jumlah baterinya dinaikkan ke 5800mAH, ia masih lagi menggunakan teknologi pengecasan 65W walaupun terdapat jenama lain yang sudahpun menawarkan teknologi pengecasan 200W.
Aksesori
Untuk ulasan ini, ASUS ROG Phone 9 Pro nampaknya hadir dengan sebuah kotak yang cukup besar sekali. Ia bukan sahaja merumahkan peranti tersebut, tetapi juga aksesori-aksesori tambahan seperti kepala pengecas, kabel, selongsong peranti dan juga penyejuk ROG Phone yang terbaru, iaitu AeroActive Cooler X Pro.




Model terbaru ini hadir dengan diameter kipas yang lebih besar dan bahan penebat haba terbina yang lebih tebal untuk menyejukkan lagi peranti ROG Phone 9 Pro ini. Saya diberitahu bahawa secara teknikalnya, penyejuk AeriActive Cooler X yang digunakan pada ROG Phone 8 sebelum ini juga boleh digunakan pada ROG Phone 9, tetapi mungkin tidak secekap apa yang ditawarkan dengan model baru.
Prestasi Gaming
Saya berkesempatan untuk menguji permainan seperti Honkai: Star Rail dan Zenless Zone Zero pada ASUS ROG Phone 9 Pro ini, dan percubaan awal saya memperlihatkan prestasi peranti yang memiripi apa yang ditawarkan pada ROG Phone 8, tetapi pada tahap suhu yang lebih rendah.

Saya dapat memainkan kedua-dua peranti ini pada kadar bingkai 60FPS dengan tetapan tinggi tanpa masalah, dan walaupun tanpa kipas penyejuk, saya tidak rasakan bahawa peranti ini panas sekalipun.

Untuk ulasan kelak, saya akan mencuba beberapa permua yang lain seperti Genshin Impact, Wuthering Waves dan lain-lain, khususnya untuk menguji kemampuan mengolah grafik pada kadar bingkai yang tinggi. Jika anda mempunyai apa-apa cadangan tentang permainan yang anda mahu kami uji untuk ulasan ini, anda boleh cadangkannya di bahagian komen.
Penutup
Pendapat jujur awal saya, ASUS ROG Phone 9 Pro ini secara ringkasnya adalah kembar dua serupa dari segi luaran. Malah jika anda menggunakan peranti ini tanp memeriksa fungsi-fungsi dalamannya, anda mungkin tidak dapat membezakan satu peranti dari peranti yang lain.

Walaupun begitu, ASUS nampaknya sedar akan perkara ini, dan telah menambahkan banyak ciri-ciri baru pada peranti pintar terkini dan paling berkuasa mereka untuk menjadikannya sebuah penaiktarafan yang berbaloi untuk semua.

Kami akan mengulas peranti ini untuk beberapa minggu ini dan melihat sama ada ia adalah berbaloi untuk anda mendapatkan peranti ini untuk pengalaman gaming yang lebih memuaskan.

