
Pada mulanya saya agak ragu dengan kaca mata pintar. Bagi saya, ia bukan satu keperluan cuma gajet yang belum tentu praktikal digunakan. Tetapi baru-baru ini, saya berpeluang mencuba beberapa model generasi baharu keluaran Meta. Pengalaman ini bukanlah ulasan penuh sebaliknya sekadar perkongsian ringkas kerana masa agak terhad. Meskipun begitu, ia tetap memberi peluang untuk saya melihat sendiri bagaimana teknologi ini berfungsi dan mungkin perlahan-lahan menjadi sebahagian daripada rutin harian.
Mungkin ada yang perasan ini sebenarnya bukan kali pertama saya berkongsi pandangan awal tentang kaca mata pintar. Pengalaman pertama saya ialah sewaktu mencuba kaca mata Samsung x Google di London semasa acara Galaxy Unpacked. Namun ketika itu saya tidak berpeluang mencubanya kerana kekangan kebersihan.

Pengalaman bersama Meta kali ini berbeza kerana saya bukan sahaja dapat memegang, malah turut memakai dan mencubanya sendiri untuk melihat bagaimana ia berfungsi. Barisan produk Meta juga menawarkan beberapa pilihan menarik. Sebagai pengguna kaca mata setiap hari, hal ini membuatkan saya lebih teruja untuk mencuba kesemuanya.

Terdapat beberapa model yang dibawa masuk ke Malaysia iaitu Ray-Ban Meta Gen 3, Ray-Ban Optics Gen 2 dan koleksi Oakley. Namun pengalaman saya lebih tertumpu pada koleksi Ray-Ban Meta, khususnya model generasi ketiga yang paling baharu. Apa yang boleh saya katakan, koleksi Ray-Ban ini sememangnya memberi tumpuan kepada gaya hidup moden. Sama ada Meta Gen 3 mahupun Optics Gen 2, kedua-duanya membawakan aura bergaya.

Bagi Meta Gen 3, terdapat tiga jenis bingkai disediakan iaitu Zena yang menjadi pilihan kegemaran saya, Aviator yang pada pandangan saya memberikan gaya lebih bijak seakan watak Tony Stark dalam Iron Man, dan Wayfarer yang lebih ringkas. Menariknya, saya baru tahu bahawa model Wayfarer inilah yang digunakan oleh Jennie daripada kumpulan Blackpink ketika mempromosikan kaca mata ini.


Selain aspek gaya, kedua-dua model ini turut dilengkapi kamera, mikrofon terbina serta sokongan Meta AI yang membolehkan pengguna mengambil gambar, merakam video dan berkomunikasi dengan pembantu maya secara langsung melalui kaca mata. Sepanjang sesi percubaan, saya lebih banyak meluangkan masa mencuba Ray-Ban Meta Gen 3 dengan reka bentuk Zena.

Pengalaman memakainya terasa selesa. Bingkainya ringan, tidak mudah tergelincir dari hidung dan tidak menekan terlalu ketat. Reka bentuk cat eyes pula memberikan gaya yang menurut saya lebih sesuai untuk wanita. Saya juga cepat membiasakan diri walaupun dalam masa singkat, malah tidak menyebabkan kesakitan pada hidung. Senang kata, kaca mata ini selesa dipakai tanpa menimbulkan rasa janggal. Malah, penggayaannya sama seperti memakai kaca mata Ray-Ban biasa, cuma terdapatnya teknologi tambahan yang digabungkan dalam rangka.
Pada bahagian hadapan, terdapat logo kecil Ray-Ban di tepi kanta bersama kamera dan sensor yang masing-masing diletakkan di sebelah kiri serta kanan. Walaupun ada pihak menganggap kamera terbina dalam pada kaca mata pintar ini sebagai sesuatu yang kontroversi, malah ada juga negara yang melarang penggunaannya di kawasan awam.

Hakikatnya, kamera tersebut direka agar tidak terlalu ketara dan kelihatan seolah-olah sebahagian daripada bingkai. Apabila tidak digunakan, kaca mata masih kelihatan seperti biasa. Namun apabila kamera diaktifkan, lampu indikator LED akan menyala atau berkelip berterusan sebagai tanda rakaman sedang berlangsung. Cahaya ini bukan sahaja dapat dilihat oleh orang sekeliling, malah pemakai sendiri juga boleh nampak dari sisi.

Dalam masa yang sama, saya faham kebimbangan pengguna terhadap isu privasi. Lampu LED diwujudkan sebagai penunjuk rakaman sedang dibuat, tetapi saiznya terlalu kecil dan kadangkala orang di sekeliling tidak menyedarinya. Pada pandangan saya, mereka yang tahu ini adalah kaca mata pintar mungkin lebih peka, namun bagi yang tidak menyedarinya tahap kesedaran berkurang malah ada yang langsung tidak tahu. Dari satu sudut, reka bentuk memang ringkas dan minimal. Tetapi dari sudut lain, tahap kesedaran orang ramai tentang rakaman tidak begitu jelas dan hal ini boleh menimbulkan keraguan terhadap keselamatan privasi.


Kedua-dua kaca mata ini boleh dikawal sama ada melalui telefon yang dipasangkan ataupun sensor sesentuh pada bingkai. Semua kawalan memerlukan aplikasi Meta AI terlebih dahulu dan hadir dengan integrasi Meta AI, jadi fungsi pintar boleh terus digunakan selepas proses pemasangan selesai. Namun begitu, kawalan melalui bingkai sama ada menggunakan sensor sesentuh memang mengambil masa untuk dibiasakan. Saya sendiri juga beberapa kali secara tidak sengaja menekan butang rakam ketika cuba melaras kedudukan kaca mata. Inilah cabaran dunia sebenar yang perlu dijangka oleh pengguna baharu.

Mungkin ada yang tertanya-tanya bagaimana jika memakai tudung, adakah kawalan sesentuh pada bingkai ini masih berfungsi? Jawapannya ya, masih boleh digunakan. Cuma perlu menekan dengan lebih kuat menggunakan jari untuk mengaktifkan gesture. Pada awalnya memang mengambil masa untuk membiasakan diri kerana pengguna perlu mencari titik kawalan yang tepat. Namun apabila sudah terbiasa, kawalan menjadi lebih senang digunakan. Kehadiran Action Button baharu turut memberi kemudahan tambahan kerana ia boleh ditetapkan mengikut keutamaan masing-masing dan berfungsi sebagai pintasan pantas untuk ciri yang paling kerap digunakan.

Dalam sesi yang sama, saya turut berpeluang mencuba beberapa ciri pada Ray-Ban Meta. Sepanjang percubaan, saya menggunakan fungsi mengambil gambar, merakam video, serta terjemahan langsung melalui arahan suara. Saya juga sempat mengajukan soalan ringkas seperti “Hey Meta, tell me a joke!” dan “Hey Meta, what’s for lunch?”. Menariknya, jawapan yang diberikan kebanyakannya realistik dan seolah-olah memahami konteks perbualan.

Lebih memudahkan lagi, saya tidak perlu mengulang sebutan “Hey Meta” sepanjang perbualan kerana boleh terus berbual seperti biasa. Seperkara yang saya perhatikan, meskipun percubaan dilakukan dalam ruangan yang dipenuhi orang, mikrofon terbina masih berfungsi dengan baik. Ia dapat menangkap suara saya dengan jelas manakala audio balasan kedengaran terang dan mudah difahami.
Bagi fungsi terjemahan, pengalaman singkat ini terasa cukup baik. Sistem dapat menterjemah bahasa lain ke Inggeris tanpa sebarang masalah. Namun, ketika saya mencubanya, teks yang digunakan agak panjang. Apabila sistem menterjemah keseluruhan sekaligus, saya perlu mengambil masa untuk memahami maksudnya dengan jelas. Hal itu saya anggap sebagai kesilapan sendiri kerana memberikan input terlalu panjang. Jika arahan lebih ringkas, mungkin pengalaman penggunaan pastinya akan terasa lebih mudah.
Kesimpulan
Selepas mencubanya untuk masa singkat, saya mendapati kaca mata pintar ini memang menarik dan berpotensi menjadi sebahagian daripada rutin harian. Namun, pada tahap sekarang saya tetap berpendirian bahawa ia belum menjadi satu keperluan. Lebih tepat jika dianggap sebagai gajet tambahan yang berguna hanya apabila selari dengan gaya hidup masing-masing. Pengalaman yang diberikannya teras meyakinkan tetapi keputusan untuk membeli atau menjadikannya sebahagian daripada kehidupan harian tetaplah bergantung pada keperluan dan keselesaan individu.

Soal relevan atau terlambat jelas sekali ia hadir agak lewat. Sebelum ini, segelintir pengguna di Malaysia terpaksa mendapatkannya dari luar negara. Dengan kehadiran rasmi kini ia memang lebih mudah diakses tetapi hakikatnya ramai sudah pun beralih ke alternatif lain. Selain itu, harganya juga agak tinggi. Jika Samsung melancarkan produk serupa kelak (mungkin?..) tidak dinafikan ramai akan beralih ke jenama besar itu. Lebih buruk lagi, waktunya tidak kena kerana isu privasi dan kamera telah membuatkan pengguna semakin risau.




