Penijmatan dan mampu milik adalah dua terma yang diancam kepupusan disebabkan oleh krisis RAM. Secara purata harga telefon pintar di Malaysia meningkat sekitar RM600 berbanding model tahun lalu dengan konfigurasi storan yang sama.
Siri Galaxy FE bermula sebagai cara melancarkan semula Note7 yang bermasalah tetapi kini lebih dikenali sebagai alternatif lebih mampu milik berbanding siri Galaxy S yang lain pada waktu yang sama menawarkan prestasi lebih tinggi berbanding siri Galaxy. Dengan Samsung Galaxy S26 FE, tahun ini mereka benar-benar menawarkan peranti yang mampu milik untuk spesifikasi yang ditawarkan.
Spesifikasi
| Samsung Galaxy S25 FE | |
|---|---|
| Skrin | 6.7″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz, FHD+, HDR10+ |
| Pemproses | Exynos 2500 (3nm) |
| Cip | 1x 3.3GHz Cortex-X925 2x 2.74GHz Cortex-A725 5x 2.36GHz Cortex-A720 2x 1.8GHz Cortex-A520 |
| Cip Grafik | Xclipse 950 |
| RAM | 8GB LPDDR5X |
| Muatan Dalaman | 128/256/512 GB UFS 4.0 |
| Kamera Utama | 50MP f/1.8 OIS, (Sudut Lebar) 12MP f/2.2 (Ultra Lebar) 8MP, f/2.4, OIS 3x Zum Optikal (Telefoto) |
| Kamera Swafoto | 12MP f/2.2 |
| Bateri | 4900 mAh Pengecasan berwayar 45W Pengecasan nirwayar 15W Qi2 Pengecasan berbalik 4.5W |
| SIM/Telefoni | 1 Nano, 1 eSIM 5G |
| NFC | Ya |
| Bicu Audio | Tiada |
| Kalis Air | IP68 |
| Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari sisi |
| Harga Jualan | RM 2899 (8/128GB) RM 3299 (8/256 GB) RM 4099 (8/512 GB) |
SKRIN dan REKAAN
Dengan skrin 6.7″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz, ia berkongsi saiz skrin yang sama dengan S26+. Saiznya sama tetapi tanpa teknologi LTPO dengan kadar segar semula 60Hz atau 120Hz sahaja. Tahap keterangan juga lebih rendah sekadar 1600 nits berbanding 2600 nits pada S26+. Satu lagi yang membezakan dua model ini ialah bezel dagu pada S26 FE lebih tebal dan tidak sekata. Skrin S25+ digunakan semula tanpa sebarang penaiktarafan dilakukan.

Estetik tubuh berkotak tiga peranti Galaxy S26 awal tahun juga turut dipinjam. Sisi yang rata menjadi peranti sedap dipegang di dalam tangan. Bingkai diperbuat daripada bahan Enhanced Armor Aluminium dengan keseluruhan tubuh melepasi piawaian kalis air dan debu IP68.

Terdapat butang kuasa dan laras audio pada sisi kanan sementara di bawah diletakkan salah satu speaker stereo, port pengecasan USB-C dan talam SIM. Talam SIM hanya menyokong satu SIM bersaiz nano dengan sambungan selular kedua perlu menggunakan eSIM. Tiada sokongan kad microSD. Panel belakang diperbuat daripada bahan seakan polikarbonat membolehkan sokongan pengecasan nirwar Qi2 15W dilakukan,.

Kemasan tubuh Galaxy S26 FE adalah kemas dan praktikal. Tiada isu ia mengutip kotoran dengan pantas kerana ia tidak mempunyai kemasan yang berkilat. Tiga bonggol lensa kamera di belakang mempunyai kemasan cincin membuatkan ia nampak bergaya. Kewujudannya juga membuatkan peranti tidak boleh diletakkan rata di atas meja.
Ketiga-tiga kamera tahun ini sama sahaja dengan tahun lalu iaitu sudut lebar 50MP, ultra lebar 12MO dan telefoto optikal 3X 8MP. Kamera swafoto hadapan juga kekal 12MP. Sudah menjadi tema Samsung tahun ini perkakasan kamera tidak diubah. Yang berubah adalah tiga lensa di belakang diletakkan dalam sebuah bonggol plastik. Ia kini rata dan tidak lagi terkeluar sehingga mengumpul kotoran seperti pada S25 FE. Saya lebih gemarkan rekaan ini kerana selari dengan rekaan pada siri Galaxy S26 lain.

Bateri tahun ini sebesar 4900 mAh sekali lagi sama seperti model tahu lepas dengan pengecasan 45W yang berwayar. Terdapat juga pengecasan Qi2 15W dan PowerShare secara berbalik.
PENGGUNAAN Dan PERISIAN

Sistem operasi One UI 9 berasaskan Android 17 digunakan. Ini menjadikan Galaxy S26 FE peranti pertama siri S26 dilancarkan dengan One UI 9. Ia mengikuti langkah Z Fold8, Z Fold8 Ultra dan Z Flip8 yang juga menggunakan One UI 9. Maka ia menyokong pelbagai ciri baharu yang ditawarkan menerusi One UI 9.
Peranti beroperasi dengan lancar walaupun sekadar dilengkapi Exynos 2500 yang merupakan cip yang digunakan Z Flip7 tahun lalu. Ia dipadankan dengan memori 8GB RAM LPDDR5x dan storan sehingga 512GB UFS 4.0. Ya saiz RAM yang kecil bagi sebuah peranti mercu tetapi inilah realiti 2026 dimana krisis RAM menyebabkan saiz memori peranti akan mengecut.

Bercakap mengenai RAM, ciri RAM Plus boleh menambah memori sehingga 8GB secara maya. Ia boleh dimatikan jika pemilik tidak mahu sebahagian storan diambil untuk menambah RAM. Terdapat juga pilihan hanya menambah 2, 4, dan 6 GB RAM maya.
Semua ciri-ciri Galaxy AI seperti Translate, Writing Assist, Sketch Assist, Now Bar, Now Brief dan Circle to Search turut disertakan sekali. Yang baharu ialah Google Gemini dan Gemini Voice boleh diseru menggunakan butang kuasa.
Kekuatan Samsung masih lagi terletak pada perisian kerana Galaxy S26 FE akan menerima sokongan 7 kemas kini versi sistem operasi Android serta tampalan sekuriti selama 7 tahun yang jauh lebih lama berbanding pengeluar peranti Android lain kecuali Google Pixel.
KESIMPULAN
Samsung Galaxy S26 FE pada hemat saya boleh juga diberikan nama sandaran Galaxy S25 FE Remastered. Ia adalah peranti yang sama dari segi rekabentuk, ciri, bateri dan kemampuannya. Perbezaan hanyalah S26 FE dilengkapi cip kurang berkuasa dan sistem operasi lebih terkini berasaskan Android 17.

Dalam penggunaan yang agak singkat, prestasi melancarkan aplikasi, kelancaran antaramuka dan ciri Galaxy AI yang ditawarkan adalah setanding Galaxy S26 yang lain. Dengan harga jualan bermula RM2499 (8/128GB), Samsung Galaxy S26 FE adalah model Galaxy S26 paling mampu milik di pasaran tempatan. Selepas menerima rebat oleh Samsung, harga jualan S25 FE tahun ini adalah lebih murah berbanding S25 FE tahun lalu untuk konfigurasi memori/storan yang sama.
| Model | Harga Asal | Harga Promosi |
| 8/128GB | RM 2899 | RM 2499 |
| 8/256GB | RM 3299 | RM 2799 |
| 8/512GB | RM 4099 | RM 3399 |
Pro
- Rekaan kemas dan premium.
- Cip Exynos 2500 masih berkuasa.
- Menggunakan One UI 9 berasaskan Android 17.
- Kalis air IP68
- Sokongan 7 versi Android dan 7 tahun tampalan sekuriti.
Kontra
- Tiada penaiktarafan sensor kamera utama.
- Sekadar 8GB RAM
- Sekadar S25 FE dengan cip dinaiktaraf.




