Samsung Galaxy S26 FE Malaysia: Exynos 2500 dengan One UI 9 baharu, dari RM2,899

LocalTechnology
27 Aug 2026 • 8:23 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

Samsung Galaxy S26 FE Malaysia: Exynos 2500 dengan One UI 9 baharu, dari RM2,899

Samsung secara rasminya telah melancarkan model terbaru dalam siri flagship mereka iaitu Galaxy S26 FE, sekali gus melengkapkan barisan siri Galaxy S26 untuk tahun ini.

Walau bagaimanapun, seperti tahun sebelumnya, naik taraf yang diberikan tidaklah ketara untuk model FE baharu ini, dengan perubahan utama diberikan pada cip pemproses, rekaan pepulau kamera yang lebih baharu serta perisian One UI 9.
n One UI 9.

Apa pun, harga jualan Galaxy S26 FE turut meningkat berbanding generasi terdahulu. Namun, Samsung menawarkan beberapa promosi yang membolehkan pengguna mendapatkannya pada harga lebih rendah.

Harga dan ketersediaan Galaxy S26 FE di Malaysia

Untuk pasaran tempatan, Galaxy S26 FE bakal dijual secara rasmi di Malaysia bermula 4 September 2026. Menariknya, kali ini Samsung menawarkan sebanyak tiga varian, berbanding hanya dua varian sebelum ini, dengan menyertakan varian asas 128GB. Berikut adalah harga jualan rasmi:

  • 8GB + 128GB – RM2,899
  • 8GB + 256GB – RM3,299
  • 8GB + 512GB – RM4,099

Ini merupakan kali pertama model siri FE mencecah harga melebihi RM4,000. Sebagai perbandingan, model terdahulu dilancarkan pada harga RM3,099 untuk storan 256GB dan RM3,699 untuk storan 512GB.

Namun anda tidak perlu risau, kerana Samsung menawarkan promosi pelancaran awal bermula 4 hingga 30 September 2026. Menerusi penjimatan seperti diskaun SPayLater sehingga RM600 dengan ansuran 0% selama 12 bulan, rebat bank terpilih sehingga RM600, serta rebat eksklusif Samsung Fans bernilai RM100, anda boleh memiliki Galaxy S26 FE pada harga promosi berikut:

  • 8GB + 128GB – RM2,899 RM2,499 (Diskaun RM400)
  • 8GB + 256GB – RM3,299 RM2,799 (Diskaun RM500)
  • 8GB + 512GB – RM4,099 (RM3,399 (Diskaun RM700)

Selain tawaran diskaun ini, setiap pembelian turut disertakan dengan langganan percuma Google AI Pro selama 6 bulan bersama storan awan 5TB.

Galaxy S26 FE tersedia dalam tiga pilihan warna iaitu biru, hitam dan hijau.

Spesifikasi Samsung Galaxy S26 FE

Satu perubahan ketara pada Galaxy S26 FE adalah rekaan pepulau kamera yang kini sedikit berbonggol menyerupai model lain dalam siri Galaxy S26. Lain-lain perkara, ia kebanyakannya kekal sama.

Skrinnya masih jenis Dynamic AMOLED 2X berukuran 6.7″ dengan resolsui FHD+. Disebabkan panelnya bukan LTPO, ia menyokong kadar segar semula 60/120Hz berserta tahap kecerahan puncak 1,900 nits.

Untuk kuasa, telefon ini dijana cip Exynos 2500 3nm, cip yang sama diguna pakai pada Galaxy Z Flip 7, dan merupakan peningkatan daripada Exynos 2400 yang digunakan pada tahun lalu.

Bahagian kameranya masih menggunakan tetapan tiga kamera yang sama, merangkumi kamera utama 50MP dengan OIS dan F1.8, kamera ultralebar 12MP F2.2 dan kamera telefoto 8MP F2.4. Lensa telefoto ini turut menyokong zum optikal 3x dan zum digital sehingga 30x. Sementara itu, kamera depannya menggunakan sensor 12MP.

Meski perkakasan kamera tidak berubah, Samsung turut menambah baik keupayaan pengimejan menerusi penambahan ciri baharu pada Galaxy S26 FE. Antara yang diperkenalkan termasuk Super Steady dengan Horizontal Lock untuk rakaman yang lebih stabil, ciri yang pertama kali diperkenal pada siri Galaxy S26.

Lagi satu ciri adalah My FanCam yang membolehkan anda menjejak satu subjek dalam bingkai selepas video direkod. Ciri ini diperkenal pada siri Galaxy Z Fold 8 dan Z Flip 8.

Tenaga telefon kekal disalurkan bateri berkapasiti sama 4,900mAh yang menyokong pengecasan 45W (mampu mengecas sehingga 65% dalam masa sekitar 30 minit), pengecasan wayarles 15W, serta fungsi pengecasan semula wayarles Wireless PowerShare.

Sejurus keluar kotak, ia menjalankan perisian One UI 9 baharu berasaskan Android 17. Sistem operasi baharu ini turut tampil dengan fungsi baharu seperti Photo Assist, membolehkan penyuntingan imej dibuat menerusi suara, Gemini Omni yang berupaya hasilkan klip video daripada kandungan galeri foto.

Ciri Circle to Search juga kini dipertingkatkan untuk membolehkan anda membuat carian beberapa objek serentak dalam satu imej. Manakala, fungsi Now Nudge diperluas sokongan untu aplikasi pihak ketiga, memberikan cadangan tindakan pantas merentasi pelbagai aplikasi harian.

Samsung turut memberi jaminan kemas kini OS dan keselamatan selama 7 tahun, manakala sambungan yang disokong merangkumi 5G, Wi-Fi 6E, serta Bluetooth v5.4.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Galaxy S26 FE.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved