
Samsung kembali dengan siri Galaxy S26 baharu dan seperti tahun-tahun sebelumnya terdapat tiga model iaitu Galaxy S26, Galaxy S26+ serta Galaxy S26 Ultra. Dari segi rekaan, siri ini kelihatan hampir sama dengan generasi terdahulu, namun apabila diteliti pada bahagian dalaman terdapat pembaharuan menarik. Selain itu, cip Exynos turut kembali, menandakan cubaan Samsung untuk memberikan pilihan lebih pelbagai berbanding tahun lalu yang lebih memfokuskan kepada cip Snapdragon.
Spesifikasi
| Samsung Galaxy S26/ Samsung Galaxy S26+ | Samsung Galaxy S26 Ultra | |
| Skrin | 6.7″ Dynamic AMOLED 2X, LTPO QHD+, 120Hz, HDR10+ 6.3″ Dynamic AMOLED 2X, LTPO FHD+, 120Hz, HDR10+ Corning Gorilla Glass Victus 2 | 6.9″ Dynamic AMOLED 2X, LTPO WQHD+, 120Hz, HDR10+ Corning Gorilla Armor 2 |
| Pemproses | Samsung Exynos 2600 | Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy (3nm) |
| Cip | 1x 3.8 GHz – C1-Ultra 3x 3.25 GHz – C1-Pro 6x 2.75 GHz – C1-Pro | 2x Oryon V2 Phoenix L 4.47 GHz 6 xOryon V2 Phoenix M 3.53 GHz |
| GPU | Samsung Xclipse 960 | Adreno 830 |
| RAM | 12GB LPDDRR5x | 12GB LPDDRR5x 16GB LPDDRR5x |
| Storan | 128/256/512GB UFS 4.0 | 256/512/1000 GB UFS 4.0 |
| Kamera Utama | 50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar) 12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 10MP f/2.4, OIS (Telefoto 3X) | 200MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar) 50MP f/1.9 (Ultra Sudut Lebar) 10MP f/2.4, OIS (Telefoto 3X) 50MP f/3.4, OIS (Telefoto 5X) |
| Kamera Hadapan | 12 MP f/2.2 | 12 MP f/2.2 |
| Bateri | 4300/4900 mAh Pengecasan berwayar 45W/25W Pengecasan nirwayar 15W | 5000 mAh Pengecasan berwayar 60W Pengecasan nirwayar 35W |
| SIM/Telefoni | Dwi SIM/5G | Dwi SIM/5G |
| NFC | Ya | Ya |
| Bicu Audio | Tiada | Tiada |
| Kalis Air | IP68 | IP68 |
| Sistem Imbasan | Cap jari bawah skrin Imbasan wajah | Cap jari bawah skrin Imbasan wajah |
| Harga | Samsung Galaxy S26 RM5,199 (12/512GB) Samsung Galaxy S26+ RM6,199 (12/512GB). | RM6,799 (12/512GB) RM7,999 (16GB/1TB) |
Pengalaman Penggunaan
Samsung menekankan bahawa siri Galaxy S26 kali ini lebih nipis dan ringan, namun tetap mengekalkan tahap ketahanan. Bahan binaan menggunakan Armor Aluminium bersama kaca Corning Gorilla Glass khususnya untuk model Ultra. Menariknya, Galaxy S26 Ultra hanya setebal 7.9mm berbanding S24 Ultra (8.6mm) dan S25 Ultra (8.2mm). Walaupun perbezaan angka kelihatan kecil, hal ini menunjukkan usaha Samsung untuk menghasilkan telefon premium yang lebih nipis tanpa mengorbankan ketahanan.

Meskipun ketahanan tidak dikompromi, ketiadaan penggunaan titanium pada tahun ini memberikan perspektif yang sedikit berbeza. Ia seolah-olah mengurangkan rasa mewah yang biasanya dikaitkan dengan bahan premium tersebut. Justeru walaupun binaan masih kukuh nilai namun eksklusif yang hadir bersama penggunaan titanium pada generasi terdahulu tidak lagi dirasai. Seperti Apple, Samsung juga tidak lagi menggunakan bahan eksotik yang digunakan pada kapal angkasa, kereta lumba dan jet SR-71 Blackbird.

Hal ini menimbulkan persoalan sama ada Samsung benar-benar ingin menekankan aspek premium atau lebih menumpukan kepada keseimbangan antara ketahanan dan kemudahan penggunaan. Mungkin konsep ini mungkin dipengaruhi oleh Apple yang turut tidak lagi menggunakan titanium pada peranti premium mereka tahun lalu. Bagi sesetengah pengguna, ketiadaan bahan tersebut boleh dianggap sebagai satu bentuk turun taraf meskipun dari sudut penggunaan ia menjadikan peranti lebih ringan dan mudah digunakan.

Perubahan ketara dapat dilihat pada bonggol kamera yang berbentuk bujur seperti Z Fold7 manakala Galaxy S25 sebelum ini menggunakan gelung logam berasingan secara menegak. Kali ini, Samsung menggabungkan semua kamera dalam satu bonggol melengkung, lalu menjadikan rekaan lebih kemas. Walaupun bukan perubahan besar sekurang-kurangnya ia menunjukkan usaha untuk penampilan lebih teratur. Rekaan baharu ini hadir pada semua model tetapi versi Ultra dengan tambahan dua lensa kamera kelihatan lebih menonjol berbanding yang lain.

Badan peranti siri Galaxy S26 juga kelihatan lebih membulat termasuk model Ultra. Apabila dipegang, ia terasa lebih selesa kerana tidak lagi berkotak tajam seperti generasi sebelumnya. Namun, dengan bentuk sisi yang lebih bulat, slot S Pen pada Ultra kelihatan sedikit terkeluar ke arah sisi. Dari sudut ergonomik, kedudukan ini terasa agak janggal jika dibandingkan dengan generasi terdahulu yang lebih rata. Dalam imej yang ditunjukkan, kedudukan slot itu kelihatan seolah-olah sedikit terkeluar ke tepi. Bagaimanapun, dari segi fungsi tiada perubahan besar kerana S Pen masih sama seperti pada Galaxy S25 Ultra maka pengalaman pengguna sepatutnya tidak berubah.

Selain daripada itu, tiada perubahan besar kerana kita sudah memasuki fasa reka bentuk kitar semula. Bahagian hadapan masih mengekalkan skrin rata dengan kamera lubang kecil di tengah. Perubahan hanya berlaku sedikit pada model S26 iaitu saiz skrin meningkat kepada 6.3″ berbanding 6.2″ pada tahun sebelumnya. Untuk model S26+ dan Ultra, saiz kekal masing-masing 6.7″ dan 6.9″. Panel juga tidak berubah, masih menggunakan paparan Dynamic AMOLED 2X dengan kadar segar semula 120Hz LTPO. Resolusi serta tahap kecerahan turut sama seperti sebelum ini tanpa peningkatan ketara.

Namun begitu, skrin Ultra tahun ini hadir dengan sesuatu yang menarik kerana selain lapisan anti-silau, Samsung turut memperkenalkan teknologi Privacy Display. Fungsi ini menjadikan paparan automatik gelap atau kabur apabila dilihat dari sisi sekali gus memastikan kandungan nampak dengan jelas apabila dipandang terus dari hadapan. Jika ada orang di sebelah cuba mengintai, mereka hanya akan melihat paparan yang kabur. Ciri ini boleh diaktifkan atau dimatikan mengikut keselesaan pengguna malah terdapat aplikasi seperti media dan perbankan yang boleh mengaktifkan fungsi ini secara automatik apabila diperlukan.



Ciri baharu ini sememangnya berguna, khususnya ketika membaca mesej penting di tempat awam kerana ia menyukarkan orang lain untuk melihat kandungan skrin. Namun begitu, apabila fungsi ini diaktifkan, paparan sedikit kabur seakan menggunakan lapisan privasi matte. Dari sudut keselamatan, teknologi ini memberi nilai tambah kerana melindungi maklumat peribadi dan sensitif daripada risiko pencerobohan visual. Bagaimanapun, pengguna perlu bijak menilai situasi kerana apabila ciri ini diaktifkan, pengalaman paparan sedikit terjejas. Justeru, keseimbangan antara privasi dan keselesaan penggunaan menjadi faktor penting dalam menilai keberkesanan teknologi ini.
Perkakasan Dan Perisian AI
Untuk perkakasan, tahun ini Samsung cuba membezakan semula antara model. Hanya Galaxy S26 Ultra menerima cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy. Menurut Samsung, cip ini memberikan peningkatan CPU sebanyak 19%, GPU sebanyak 24%, dan NPU (otak AI) sebanyak 39%. Oleh itu, model Ultra lebih berkuasa untuk permainan video, multitasking, serta fungsi berasaskan AI. Bagi Galaxy S26 dan S26+ Samsung menggunakan cip Exynos 2600. Walaupun bukan Snapdragon, Exynos masih mempunyai kelebihan tersendiri. Ia hadir dengan fungsi Pro Scaler yang mampu meningkatkan kualiti imej atau video beresolusi rendah supaya kelihatan lebih tajam di samping paparan dengan warna tepat.
Sistem penyejukan dipertingkatkan melalui penggunaan Vapor Chamber baharu yang lebih besar untuk memastikan peranti kurang panas ketika bermain permainan berat atau melakukan multi-tugas dalam tempoh yang lama. Memori bermula dengan 12GB RAM, kemudian meningkat kepada 16GB RAM untuk model Ultra. Storan dalaman bermula 128GB bagi Galaxy S26, manakala S26+ dan Ultra bermula 256GB serta boleh mencapai sehingga 1TB bergantung pada varian. Tiada sokongan kad microSD disediakan sama seperti beberapa generasi sebelum ini.

Kemunculan semula cip Exynos menimbulkan persoalan tentang hala tuju Samsung kerana syarikat ini memilih untuk kembali menggunakannya selepas memberi tumpuan kepada Snapdragon pada tahun lalu. Ada yang berpendapat langkah ini bertujuan memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna, manakala ada juga yang melihatnya sebagai strategi untuk menonjolkan keupayaan cip buatan sendiri.
Jika dibandingkan dengan siri Galaxy S25, keputusan ini jelas menunjukkan perubahan kerana siri tersebut lebih konsisten dengan Snapdragon, sekali gus memberi keyakinan kepada pengguna yang mengutamakan prestasi tinggi, berbeza dengan pendekatan pada Galaxy S24 yang masih bercampur.
Bagaimanapun dengan Galaxy S26, Samsung dilihat cuba menyeimbangkan antara prestasi premium melalui model Ultra dan kepelbagaian pilihan menerusi model S26 serta S26+. Apa pun alasannya, keputusan ini pasti menjadi perbincangan dalam kalangan pengguna khususnya mereka yang lebih cenderung kepada Snapdragon. Langkah ini boleh dianggap sebagai usaha Samsung untuk mengekalkan identiti cip Exynos sambil terus memanfaatkan kelebihan Snapdragon pada model paling premium.

Samsung pada tahun ini turut memberi penekanan kepada ciri AI dalam siri Galaxy S26. Hal ini tidak mengejutkan kerana mereka sudah pun memperkenalkan Galaxy AI sebelum ini namun kali ini penambahbaikan dilakukan dengan lebih menyeluruh. Antara peningkatan yang diberikan termasuklah Bixby yang kini lebih pintar berbual membolehkan pengguna bercakap secara biasa tanpa perlu menggunakan istilah teknikal dan sistem tetap memahami arahan. Menukar tetapan dalam telefon juga menjadi lebih mudah, seolah-olah berbual dengan rakan. Selain itu, Bixby mampu terus mencari maklumat dari internet contohnya status penerbangan atau hotel untuk perjalanan.

Samsung turut memperkenalkan Creative Studio yang membolehkan pengguna menyunting gambar hanya dengan arahan teks. Melalui fungsi ini, objek boleh ditambah, latar belakang ditukar atau imej diperbetulkan dengan mudah. Ia juga mampu menukar lakaran ringkas kepada imej, menghasilkan imej daripada teks serta menukar foto kepada gaya kartun atau lukisan. Apabila imej dijana daripada lakaran atau teks termasuk data sensitif, maklumat tersebut akan diproses tetapi tidak disimpan oleh Samsung.


Selain itu, fungsi Audio Eraser kini lebih fleksibel kerana boleh digunakan terus dalam aplikasi lain seperti YouTube, Netflix dan Instagram. Pada masa yang sama, AI turut membantu mengimbas dokumen agar bebas daripada bayang serta menyusun tangkapan skrin secara automatik mengikut kategori.

Samsung turut menambah ciri baharu Now Nudge yang memberikan cadangan masa nyata berdasarkan mesej atau aktiviti pengguna. Ia mampu memahami kandungan pada skrin dan mencadangkan maklumat atau fungsi yang relevan. Dengan satu sentuhan, pengguna boleh beralih daripada mesej rakan terus ke aplikasi peta untuk melihat arah. Selain itu, Now Nudge ini turut memahami konteks tugasan. Misalnya apabila sesuatu kerja memerlukan rujukan daripada masa lalu, ia akan memaparkan maklumat berkaitan secara automatik. Malah, ia juga boleh mencadangkan maklumat untuk diisi seperti nama, e-mel atau nombor pasport sekali gus memudahkan urusan harian.


Ciri Now Brief menawarkan pengalaman lebih peribadi kerana ia mengambil maklumat daripada e-mel, kalendar dan notifikasi lalu memaparkannya pada panel tepi serta skrin utama untuk akses pantas. Fungsi Circle to Search juga dipermudahkan kerana pengguna tidak lagi perlu membuat bulatan sebaliknya cukup dengan menunjuk menggunakan kamera. Satu lagi ciri menarik ialah Call Screening di mana AI menapis panggilan tidak dikenali dengan bertanya tujuan pemanggil sebelum pengguna membuat keputusan untuk menjawab.


Tetapan Kamera
Samsung masih mengekalkan susunan kamera untuk siri Galaxy S26. Model S26 dan S26+ hadir dengan tiga kamera belakang masing-masing 12MP, 50MP dan 10MP manakala versi Ultra lebih lengkap dengan empat kamera iaitu 50MP, 200MP, 10MP dan 50MP. Semua model turut dilengkapi kamera hadapan 12MP dengan sokongan zum optik 3x serta mampu merakam video sehingga 8K pada 30fps.

Walaupun spesifikasi kelihatan hampir sama dengan generasi sebelumnya, Samsung menegaskan kamera kali ini lebih berkuasa disebabkan apertur lebih besar yang membolehkan lebih banyak cahaya ditangkap. Hasilnya, gambar dan video kelihatan lebih terang serta jelas, khususnya pada waktu malam atau di lokasi kurang pencahayaan. Selain itu, fungsi Nightography turut dipertingkatkan di mana bukan lagi sekadar merakam gambar malam seperti dahulu tetapi kini AI mampu mengenal pasti suasana, menyesuaikan tona warna mengikut mood, serta menghasilkan suntingan automatik yang lebih semula jadi.


Bateri Dan Pengecasan
Galaxy S26 Ultra hadir dengan bateri 5000mAh bersama sokongan pengecasan pantas 60W yang mampu mencapai sehingga 75% dalam masa 30 minit selain turut menyokong pengecasan nirwayar 25W. Galaxy S26+ pula dilengkapi bateri 4900mAh dengan pengecasan 45W serta nirwayar 20W. Manakala Galaxy S26 menggunakan bateri 4300mAh dengan pengecasan 25W dan nirwayar 15W. Model asas turut dilihat menunjukkan peningkatan berbanding Galaxy S25 yang hanya menawarkan kapasiti 4000mAh sementara S26+ pula sama seperti generasi baharu.

Walaupun pesaing seperti Vivo X300 Pro dengan pengecasan 120W menawarkan kelajuan lebih tinggi sehingga membuatkan Samsung kelihatan sedikit ketinggalan dari segi kadar pengecasan, peningkatan daripada 45W kepada 60W pada model Ultra masih menunjukkan perkembangan positif. Sekurang-kurangnya ada perubahan yang jelas berbanding sebelum ini yang sama.
Pandangan Awal

Secara keseluruhan, siri Galaxy S26 memberikan gambaran bercampur. Dari segi luaran, ia kelihatan mirip dengan generasi sebelumnya, menimbulkan rasa kurang teruja kerana tiada perubahan besar pada reka bentuk mahupun perkakasan. Malah, ada yang berpendapat peningkatan kali ini lebih tertumpu kepada perisian berbanding perkakasan.Bagaimanapun, apabila diteliti masih terdapat beberapa pembaharuan diberikan.
Perubahan pada rekaan kamera, teknologi Privacy Display serta integrasi AI menjadikan siri ini semakin menarik. Jika dibandingkan dengan siri Galaxy S25, siri ini menunjukkan usaha Samsung untuk membawa pengalaman lebih pintar khususnya dalam fotografi cahaya rendah yang lebih semula jadi serta ekosistem Galaxy yang semakin matang.
Pro
- Cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy dan Exynos 2600 adalah berkuasa.
- Teknologi skrin baharu lebih privasi pada S26 Ultra.
- Ciri AI yang dipertingkatkan lagi kemampuan.
- IP68
- Sokongan kemas kini tujuh versi Android dan tujuh tahun tampalan sekuriti.
- Pengecasan lebih pantas pada Galaxy S26 Ultra.
Kontra
- Perubahan spesifikasi minima.
- Kapasiti bateri kini kecil dan pengecasan juga perlahan berbanding pesaing.
- Peningkatan lebih pada model S26 Ultra.
- Seperti Apple tiada lagi tubuh titanium pada S26 Ultra.
- Peningkatan harga kerana krisis RAM.
