Yang dinantikan akhirnya tiba, Samsung Galaxy S26 Ultra dilancarkan secara rasmi termasuk untuk pasaran Malaysia. Dari segi luaran, perubahan boleh dikatakan agak minima kecuali rekaan yang kini lebih menyerupai siri Z Fold. Dari aspek perisian pula, ia dilihat semakin matang dengan penambahbaikan yang konsisten.

Galaxy S26 Ultra hadir dengan skrin 6.9″ QHD+ Dynamic AMOLED 2X yang menyokong kadar segar semula 120Hz Ia turut dilengkapi teknologi Vision Booster yang terkenal dengan keupayaan paparan lebih jelas. Walaupun atas kertas spesifikasinya masih hampir sama dengan beberapa model sebelum ini, tahun ini terdapat ciri baharu yang menarik iaitu Privacy Screen.

Secara ringkas, fungsi ini membolehkan paparan skrin hanya dapat dilihat dengan jelas dari hadapan. Mereka yang berada di sisi tidak akan dapat melihat kandungan kerana skrin akan kelihatan gelap. Ciri ini menjadikan Galaxy S26 Ultra lebih selamat digunakan di tempat awam terutama bagi mereka yang mementingkan privasi.

Tunjang utama Galaxy S26 Ultra dijana oleh cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy dengan pilihan memori sehingga 16GB RAM serta storan dalaman sehingga 1TB. Bagaimanapun, kapasiti storan ini bergantung pada rantau dan seperti generasi sebelum ini tiada sokongan kad microSD disediakan.

Peranti ini dipadankan dengan antara muka terkini OneUI 8.5 berasaskan Android 16 bersama sokongan Bixby yang kini lebih pintar untuk pengalaman yang lebih baik. Terdapat juga ciri baharu dinamakan Now Nudge yang mampu memberi cadangan secara masa nyata berdasarkan aktiviti harian dan mesej pengguna. Selain itu, fungsi Creative Studio turut disediakan untuk tujuan suntingan kreatif, dengan sokongan prompt bagi menghasilkan imej yang lebih interaktif.

Tetapan kamera Galaxy S26 Ultra terdiri daripada 50MP ultra-lebar, 200MP lebar, 50MP telefoto dengan zum optikal 5x, serta 10MP telefoto dengan zum optikal 3x diikuti kamera hadapan 12MP. Dari segi rakaman video, ia menyokong sehingga 8K pada 30FPS dengan kelebihan penstabilan yang boleh dikunci untuk menghasilkan video lebih stabil.

Galaxy S26 Ultra mengekalkan fokus pada fungsi Nightography dengan sensor lebih besar untuk hasil imej lebih jelas. AI kini mampu mengenal pasti suasana, melaras tona warna mengikut mood serta melakukan suntingan automatik yang kelihatan semula jadi. Dari segi bateri, ia hadir dengan kapasiti 5000mAh bersama pengecasan pantas 60W yang mampu mencapai 75% dalam masa 30 minit. Ia turut menyokong pengecasan nirwayar 25W dan fungsi Wireless PowerShare untuk mengecas peranti lain.

Samsung Galaxy S26 Ultra dilancarkan di Malaysia bermula harga RM6,799 (12/512GB) dan RM7,999 (16GB/1TB). Pratempahan peranti ini dibuka dari 26 Februari hingga 10 Mac 2026 dengan ganjaran eksklusif bernilai sehingga RM1,200 termasuk storan berganda, Samsung Rewards Points Booster dan rebat segera RM700 dengan kad bank terpilih. Pengguna juga boleh menikmati penjimatan sehingga RM4,000 melalui program Galaxy Forever trade-in, menikmati diskaun 30% untuk aksesori terpilih serta pelan ansuran 0% sehingga 36 bulan di bank yang mengambil bahagian.
