
Samsung Galaxy Z Flip8 merupakan satu lagi model yang diumumkan tahun ini. Tiada variasi FE diberikan pada kali ini, mungkin digantikan dengan versi Ultra dalam siri Fold. Apa yang pasti, Galaxy Z Flip8 tidak membawa perubahan besar dari segi asas reka bentuk. Samsung memilih untuk mengekalkan bentuk lipat klasik berkonsepkan clamshell yang ikonik.
Pendekatan ini jelas menunjukkan bahawa Samsung masih melihat Flip sebagai peranti gaya hidup yang berbeza daripada Fold yang lebih menekankan produktiviti. Inilah pandang pertama saya terhadap Galaxy Z Flip8.
Spesifikasi Ringkas
| Samsung Galaxy Z Flip8 | |
|---|---|
| Skrin | Luar – 4.1″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz Dalam – 6.9″ SAMOLED 120Hz Vision booster HDR10+ |
| Pemproses | Exynos 2600 (2 nm) |
| Cip | 1 x 3.80GHz C1-Ultra 3 x 3.25GHz C1-Pro 6 x 2.75GHz C1-Pro |
| Cip Grafik | Xclipse 960 |
| RAM | 12GB RAM LPDDR5x |
| Muatan Dalaman | 256/512GB UFS 4.0 |
| Kamera Utama | 50MP F/1.8, OIS (sudut lebar) 12MP F/2.2 (ultra lebar) |
| Kamera Swafoto | 10MP F/2.2 |
| Bateri | 4300mAh 25W brwayar 15W nirwayar |
| SIM/Telefoni | 5G |
| NFC | Ya |
| Bicu Audio | Tiada |
| Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari sisi |
| Harga Jualan | RM 6,199 (512GB) RM 5,399 (256GB) |
Skrin Dan Reka Bentuk
Samsung Galaxy Z Flip8 pada asasnya mengekalkan tradisi lipat klasik yang menjadi identiti siri ini sambil menambah nilai melalui integrasi perisian dan kecerdasan buatan (AI). Reka bentuknya masih berpaksikan konsep clamshell atau boleh katup yang ikonik menjadikan Flip8 terus sinonim dengan gaya hidup moden yang ringkas, bergaya dan mudah dibawa.


Samsung Galaxy Z Flip8 kali ini muncul lebih nipis dan ringan berbanding Flip7. Dengan berat hanya 180 gram, ia menjadi yang paling ringan dalam kategori ini, di samping ketebalan sekitar 6.1mm. Sebagai perbandingan, Galaxy Z Flip7 hadir dengan berat sekitar 188gram dan sedikit lebih tebal.
Perubahan pada Flip8 bukanlah sekadar kosmetik tetapi memberi kesan langsung kepada pengalaman harian. Berat yang lebih ringan dan ketebalan yang lebih nipis menjadikannya lebih selesa digenggam serta praktikal untuk gaya hidup moden.


Dari segi paparan, Galaxy Z Flip8 menunjukkan peningkatan ketara berbanding generasi sebelumnya. Skrin utama kini dinaikkan kepada 6.9 inci, lebih besar daripada 6.7 inci pada Flip7. Skrin luar juga mengalami perubahan dengan saiz 4.1 inci berbanding 3.4 inci pada generasi terdahulu. Peningkatan ini menjadikan pengalaman penggunaan lebih praktikal kerana skrin luar mampu menampung lebih banyak fungsi seperti widget dan aplikasi tanpa perlu membuka peranti sepenuhnya.

Namun saya berpendapat bahawa walaupun prubahan ini memberi nilai tambah dari segi penggunaan, realitinya tidak semua pengguna akan merasakan perbezaan besar dalam rutin harian. Bagi sebahagian pengguna, peningkatan ini mungkin sekadar angka di atas kertas tanpa impak yang ketara. Sebaliknya, bagi mereka yang kerap bergantung pada skrin luar untuk akses pantas, perubahan ini pasti memberi kesan positif kerana ia menjadikan pengalaman lebih efisien.


Samsung Galaxy Z Flip8 secara keseluruhannya bukanlah satu revolusi besar dari segi kosmetik. Sebaliknya, ia lebih kepada langkah yang matang dan berfokus pada pengalaman harian. Samsung masih mengekalkan identitinya kerana ia sudah menjadi tarikan utama siri Flip itu sendiri. Walaupun ada yang mungkin merasakan ia sedikit membosankan dngan menggunakan konsep sama hakikatnya reka bentuk ini telah menjadi sebahagian daripada identiti unik siri Flip.
Perkakasan Dalaman – Cip Exynos 2600 & OneUI 9.0
Untuk Samsung Galaxy Z Flip8, Samsung memilih untuk menggunakan cip Exynos 2600 iaitu cip yang sama digunakan dalam siri Galaxy S26 dan S26+. Pemilihan ini boleh dianggap masih relevan kerana cip tersebut mampu menampung keperluan multitugas yang ditawarkan oleh Flip8.

Dari sudut kegunaan harian, penggunaan cip ini memperlihatkan strategi Samsung yang lebih menekankan prestasi stabil berbanding mengejar angka spesifikasi semata-mata. Walaupun bukan cip paling berkuasa di pasaran, ia tetap cukup untuk menyokong pengalaman harian termasuk integrasi AI dan fungsi lipat yang menjadi identiti utama siri Flip.

Samsung Galaxy Z Flip8 juga hadir bersama OneUI 9.0 dengan integrasi AI yang lebih pintar khususnya pada aspek kamera. AI kamera yang ditambah baik mampu menghasilkan imej dan video yang lebih semula jadi dengan tona kulit yang cantik untuk menjadikan hasil rakaman lebih meyakinkan tanpa perlu banyak suntingan tambahan.
Selain itu, Flex Window kini menyokong AI Automation apabila telefon separuh dilipat, sekali gus memudahkan urusan pantas tanpa perlu membuka penuh peranti. Fungsi ini memperkukuh identiti Flip sebagai peranti gaya hidup moden yang menekankan kecekapan dan keselesaan penggunaan.

Menariknya, fungsi horizontal lock yang sebelum ini dipopularkan dalam siri Galaxy S26 turut diberikan, memastikan rakaman video kekal stabil walaupun telefon berada dalam posisi tidak biasa. Terdapat juga ciri Fan Cam yang mampu menjejak individu dalam rakaman jelas menyasarkan generasi muda, selari dengan konsep Flip sebagai peranti gaya hidup yang kreatif.
Tetapan Kamera
Galaxy Z Flip8 menawarkan konfigurasi kamera utama yang lebih ringkas dengan gabungan 50MP sudut lebar dan 12MP sudut ultra lebar. Tiada perubahan besar berbanding tahun lalu, dan pendekatan ini jelas berbeza dengan siri Fold yang diberikan naik taraf pada kamera ultra lebar 50MP.Strategi Samsung di sini menunjukkan bahawa Flip8 bukanlah peranti yang menekankan kuasa kamera sebagai tarikan utama sebaliknya lebih kepada kesederhanaan yang cukup untuk gaya hidup.

Namun pada pandangan saya, keputusan untuk mengekalkan kamera yang ringkas ini mungkin mengecewakan sebahagian pengguna yang mengharapkan peningkatan besar, lebih-lebih lagi kerana konfigurasi yang sama sudah digunakan sejak Galaxy Z Flip6. Ia menimbulkan persoalan tentang sejauh mana hala tuju Flip ini terutamanya apabila Samsung sendiri sering menekankan imej Flip sebagai simbol gaya hidup.
Kapasiti Bateri

Galaxy Z Flip8 hadir dengan bateri berkapasiti 4300mAh di mana lebih tinggi berbanding 4000mAh pada generasi sebelumnya. Peningkatan ini memberi sedikit kelebihan dari segi ketahanan. Namun dari segi pengecasan, Flip8 hanya menawarkan pengecasan berwayar 25W dan nirwayar 15W yang jelas lebih rendah berbanding siri Fold yang diberikan sokongan lebih pantas.
Kesimpulan
Tiada perubahan drastik untuk kali ini. Itulah kesimpulan yang boleh saya buat tantang telefon boleh lipat baharu Galaxy Z Flip8. Dari segi reka bentuk, ia hampir sama dengan Galaxy Z Flip6, malah keseluruhannya tidak banyak berbeza. Perubahan yang diberikan hanyalah minimum yang melibatkan cip pemproses, integrasi AI dan kapasiti bateri. Keputusan ini sebenarnya tidak mengejutkan kerana dalam pasaran telefon pintar pengeluar perlu sentiasa cuba memperkenalkan sesuatu yang baharu walaupun kecil bagi memastikan produk mereka kekal relevan.





