
Bukan dua, tetapi tiga model diperkenalkan sekali gus menunjukkan perubahan strategi Samsung pada tahun ini. Barisan baharu terdiri daripada Galaxy Z Fold8 Ultra, Galaxy Z Fold8 dan Galaxy Z Flip8 dengan masing-masing dengan kelebihan tersendiri bagi memenuhi gaya penggunaan berbeza.
Kehadiran Galaxy Z Fold8 Ultra menandakan usaha Samsung untuk menembusi segmen premium dengan lebih agresif, sementara itu Galaxy Z Fold8 pula mengekalkan keseimbangan prestasi. Inilah pandang pertama saya untuk Galaxy Z Fold8 Ultra dan Galaxy Z Fold8 iaitu dua model yang menandakan hala tuju baharu dalam evolusi peranti lipat.

Spesifikasi Ringkas
| Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra | Samsung Galaxy Z Fold8 | |
| Paparan | Luar – 6.5″ AMOLED 120Hz Dalam – 8″ AMOLED 120Hz | Luar – 5.5″ AMOLED 120Hz (4:3) Dalam – 7.6″ AMOLED 120Hz (16:10 |
| Pemproses | Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy | Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy |
| Cip | 2 x 4.74 GHz Oryon V3 Phoenix L 6 x 3.62 GHz Oryon V3 Phoenix M | 2 x 4.74 GHz Oryon V3 Phoenix L 6 x 3.62 GHz Oryon V3 Phoenix M |
| Grafik | Adreno 840 (1.3GHz) | Adreno 840 (1.3GHz) |
| Mmori | 12/16 GB RAM | 12/16 GB RAM |
| Storan Dalaman | 256/512/10000GB | 256/512/10000GB |
| Kamera | 200MP sudut lebar 50MP sudut ultra lebar 10MP telefoto | 50MP sudut lebar 50MP sudut ultra lebar |
| Bateri | 5000mAh 45W brwayar 20W nirwayar | 4800mAh 45W brwayar 20W nirwayar |
| bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
| Berat | 215 gram | 201 gram |
| Sekuriti | Pengimbas cap jari sisi | Pengimbas cap jari sisi |
| Warna | Violet Shadow, Graphite, Cream, Green Shadow | Lavender, Graphite, Cream, Pistachio |
| Harga | RM 10,499 (1TB) RM 8,899 (512GB) RM 8,099 (256GB) | RM 9,699 (1TB) RM 8,099 (512GB) RM 7,299 (256GB) |
Skrin Dan Reka Bentuk
Saya memulakan artikel ini dengan model yang paling mencuri perhatian, iaitu Samsung Galaxy Z Fold8. Pada peringkat awal, timbul sedikit kekeliruan mengenai penamaan kerana peranti ini hadir dengan reka bentuk baharu yang lebih lebar dan panjang. Secara logiknya, kebanyakan jenama akan memilih untuk menukar nama apabila berlaku perubahan bentuk fizikal, meskipun kecil. Namun, Samsung mengambil pendekatan berbeza dengan mengekalkan kesinambungan nama Fold iaitu satu keputusan yang menegaskan identiti siri ini sambil memperlihatkan komitmen terhadap kesinambungan jenama.

Keputusan ini menimbulkan persoalan sama ada Samsung ingin mengekalkan identiti siri Fold sebagai produk utama tanpa mengganggu kesinambungan jenama ataupun mahu menegaskan bahawa perubahan bentuk tidak semestinya menuntut perubahan nama. Pada hemat saya, pendekatan ini jelas memperlihatkan keutamaan Samsung terhadap kesinambungan jenama berbanding strategi penjenamaan semula.


Samsung Galaxy Z Fold8 muncul sebagai model paling menyerlah tahun ini dengan reka bentuk baharu yang lebih panjang dan lebar. Perubahan fizikal ini memberi impak besar terhadap pengalaman penggunaan secara keseluruhan. Skrin utama kini terasa seperti sebuah tablet mini apabila dibuka yang menjadikannya lebih sesuai untuk multitugas, membaca artikel panjang, atau menonton video dengan paparan penuh.
Gabungan format paparan yang hampir kepada nisbah 4:3 bersama saiz skrin besar 7.6 inci mengukuhkan lagi kesan seakan tablet mini. Ia bukan sekadar perubahan dimensi tetapi langkah yang menjadikan pengalaman penggunaan lebih semula jadi. Dengan bentuk baharu ini, Fold8 bukan sahaja mengekalkan identiti siri lipat malah memperluaskan fungsinya ke arah peranti produktiviti yang lebih versatil.


Jika dibandingkan dengan Galaxy Z Fold7, perbezaannya dapat dirasai cukup katara. Fold7 hadir dengan nisbah paparan yang lebih sempit hampir 21:9 apabila dilipat dan lebih memanjang apabila dibuka. Keadaan ini menghadkan pengalaman membaca atau multitugas kerana ruang paparan lebih tinggi berbanding lebar.
Sebaliknya, Fold8 dengan nisbah baharu memberikan teks yang lebih mudah dibaca, paparan video yang lebih semula jadi tanpa ruang hitam berlebihan di sisi, serta penggunaan aplikasi serentak yang lebih selesa. Perubahan nisbah ini bukan sekadar kosmetik, tetapi membawa kesan langsung terhadap pengalaman harian.


Samsung turut menekankan bahawa garisan lipatan pada Galaxy Z Fold8 semakin sukar dilihat berbanding generasi sebelumnya. Peningkatan ini dicapai melalui penggunaan engsel Flex berasaskan titanium serta penambahbaikan pada struktur bawah skrin yang menjadikan paparan lebih tegang dan rata. Walaupun begitu, garisan lipatan masih wujud dan dapat dilihat dengan mata kasar, namun ia jauh kurang ketara berbanding pengalaman pada Galaxy Z Fold7.
Selain itu, bahagian luar peranti turut diperkuatkan dengan kaca pelindung Corning Gorilla Glass Ceramic 3 pada panel hadapan dan Corning Gorilla Glass Victus 2 pada panel belakang. Dari sudut perlindungan, rasanya tiada perubahan besar untuk tahun ini kerana Samsung masih mengekalkan kombinasi kaca yang sama seperti sebelumnya.

Secara peribadi, Samsung Galaxy Z Fold8 boleh dilihat sebagai respons langsung terhadap Huawei Pura X. Huawei sebelum ini mengambil pendekatan berani dengan memperkenalkan faktor bentuk baharu yang lebih pendek dan lebar, menyerupai buku kecil apabila dibuka. Samsung pula hadir dengan Fold8 yang mengikuti trend serupa, namun tetap mengekalkan nama Fold sebagai kesinambungan jenama.
Langkah ini menunjukkan bahawa Samsung bukan sahaja menyesuaikan diri dengan arus pasaran tetapi berusaha mengekalkan identiti siri Fold sebagai produk utama dalam kategori peranti lipat. Melihat kepada perkembangan ini, tidak mustahil lebih banyak jenama lain akan mengambil pendekatan sama memandangkan saiz dan nisbah paparan seperti ini dianggap lebih praktikal untuk kegunaan harian.
Bergerak kepada Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra, model ini sememangnya diposisikan sebagai peranti lipat premium dalam barisan tahun ini. Samsung menggambarkannya sebagai jawapan kepada pengguna yang mahukan sebuah peranti berorientasikan produktiviti dengan penekanan pada multitasking serta integrasi ekosistem Galaxy yang lebih menyeluruh.
Namun, penambahan nama Ultra menimbulkan sedikit kekeliruan kerana dari segi konsep asas, tiada perubahan besar berbanding Galaxy Z Fold7. Malah, reka bentuknya masih mengekalkan DNA yang sama sejak Galaxy Z Fold5 dengan hanya penambahbaikan kecil dari segi ketahanan engsel dan paparan yang lebih cerah.

Gabungan reka bentuk Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra masih mengekalkan gaya seakan buku yang boleh dibuka dengan skrin memanjang, menjadikan perbezaan utamanya lebih kepada aspek penjenamaan berbanding inovasi reka bentuk. Format paparan turut mengekalkan konsep memanjang, bukannya nisbah aspek baharu seperti yang diperkenalkan pada Fold8 standard. Hal ini menimbulkan persoalan sama ada label Ultra benar-benar mencerminkan peningkatan signifikan atau sekadar strategi pemasaran untuk menonjolkan kedudukan premium dalam siri Fold.
Setakat ini, jawapan yang boleh saya berikan hanyalah kedudukan penjenamaan semata, kerana dari sudut konsep asas tiada perubahan besar yang boleh dianggap sebagai lonjakan berbanding model terdahulu. Namun begitu, saya tekankan bahawa ini adalah persepsi peribadi sahaja berasaskan pemerhatian terhadap kesinambungan reka bentuk dan strategi pemasaran.


Dari sudut paparan, Galaxy Z Fold8 Ultra sebenarnya masih mengekalkan spesifikasi yang sama seperti Fold7. Ia hadir dengan skrin dalam berukuran 8.0 inci AMOLED 120Hz apabila dibuka penuh dan skrin luar berukuran 6.5 inci apabila dilipat. Perbezaan utama yang diketengahkan Samsung ialah peningkatan kualiti visual di mana paparan kali ini dikatakan lebih terang sehingga 15% dan lebih jelas 13% dengan kecerahan puncak 3000 nits melalui teknologi Vision Booster. Selain itu, lapisan anti-silau turut ditambah bagi mengurangkan pantulan cahaya. Ketumpatan piksel yang tinggi pula memastikan teks dan imej kelihatan lebih tajam.
Walaupun peningkatan ini memberi nilai tambah dari sudut teknikal, hakikatnya ia masih berasaskan spesifikasi atas kertas semata. Dari pandangan saya juga, dalam penggunaan harian peningkatan ini lebih kepada tambahan nilai yang baik tetapi bukanlah kelebihan drastik yang mampu mengubah pengalaman keseluruhan. Malah bagi pengguna biasa, perbezaan tersebut mungkin tidak begitu ketara dan lebih sekadar penambahbaikan kecil yang melengkapkan imej premium peranti ini.


Sokongan S Pen Ultra juga tidak ditawarkan pada Galaxy Z Fold8 Ultra tahun ini, dan Samsung tidak memberikan alasan untuk keputusan tersebut. Bagaimanapun, mereka sebelum ini pernah menjelaskan bahawa ciri berkenaan tidak digunakan secara meluas oleh majoriti pengguna Fold. Maka, langkah kali ini boleh dianggap berasaskan faktor yang sama.
Meskipun peranti ini pada asasnya mungkin tidak begitu ketara berbanding Fold7, Samsung tetap menegaskan bahawa Galaxy Z Fold8 Ultra hadir dengan beberapa penambahbaikan kecil yang cuba memberi kesan besar kepada pengalaman penggunaan. Antara yang paling menonjol ialah aspek fizikalnya di mana model ini merupakan yang paling nipis pernah mereka hasilkan dengan ketebalan hanya 4.2mm apabila dibuka penuh dan 5.6mm apabila dilipat.

Selain itu, penggunaan engsel baharu bersama material titanium memberikan rasa yang lebih kemas dan premium. Samsung turut memperkenalkan teknologi Flex Titanium yang diletakkan di bawah panel AMOLED, yang dikatakan mampu meningkatkan tahap ketahanan. Di samping itu, engsel magnetik baharu membolehkan lipatan dikesan dengan lebih tepat manakala garisan lipatan juga dikatakan semakin sukar. Namun realitinya, garisan lipatan itu masih wujud tetapi pada tahap minimum.
Perkakasan Dalaman – Cip Snapdragon 8 Gen 5 & OneUI 9.0
Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra dan Fold8 dilengkapi dengan cip Snapdragon 8 Gen 5 for Galaxy, iaitu cip yang sama digunakan pada model mercu Galaxy S26 Ultra sebelum ini. Dalam sesi taklimat bersama media, Samsung turut menegaskan bahawa mereka tidak menghasilkan cip baharu khusus untuk siri Fold kali ini.

Dari sudut teknikal, cip Snapdragon 8 Gen 5 for Galaxy masih berada dalam kelas prestasi tinggi dengan kelebihan pada kelajuan pemprosesan, grafik serta kecekapan tenaga. Keputusan Samsung mengekalkan cip sedia ada boleh dianggap sebagai langkah matang kerana ia menunjukkan strategi yang seimbang antara pembaharuan dan kegunaan nyata. Tidak semestinya setiap generasi perlu hadir dengan cip baharu semata-mata untuk kelihatan gah sedangkan cip yang sedia ada masih mampu menampung keperluan multitugas khususnya dalam segmen mercu.
Pilihan konfigurasi turut ditawarkan dengan RAM antara 12 hingga 16GB diikuti storan dalaman sehingga 1TB. Nampaknya Samsung masih mengekalkan kapasiti yang telah menjadi standard mereka, sedangkan trend jenama lain di pasaran kini mula memperlihatkan pendekatan berbeza iaitu ada yang kmbali menawarkan variasi RAM lebih terhad, malah ada juga yang menyediakan pilihan storan bermula serendah 128GB.

Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra dan Z Fold8 juga hadir dengan OneUI 9.0 baharu. Dalam masa sama, siri ini turut menerima peningkatan pada fungsi kecerdasan buatan (AI) yang bertujuan menjadikan pengalaman penggunaan lebih pintar.
Antara ciri baharu yang diperkenalkan termasuk Now Nudge, yang kini boleh digunakan dalam mod berbilang tetingkap. Fungsi ini memudahkan pengguna mengurus lebih daripada satu aplikasi pada masa yang sama, menjadikan multitugas lebih efisien. Sementara itu, Action Nudge pula berfungsi sebagai peringatan yang boleh dipin terus ke skrin utama. Dengan cara ini, ia lebih mudah dilihat dan diakses tanpa perlu membuka aplikasi tambahan sekali gus meningkatkan produktiviti harian.
Selain itu, terdapat juga ciri AI Automation (Live View Floating) yang membolehkan sistem memahami konteks kandungan pada skrin lalu memaparkan tetingkap terapung untuk tindakan pantas. Fungsi ini memberi kelebihan dari segi produktiviti kerana pengguna tidak perlu beralih aplikasi semata-mata untuk melakukan tindakan tertentu.
Maklumat mengenai kemas kini perisian untuk Galaxy Z Fold8 Ultra dan Galaxy Z Fold8 setakat ini memang masih belum dinyatakan secara rasmi oleh Samsung. Namun, mereka sebelum ini pernah menyatakan komitmen untuk menyediakan kemas kini perisian sehingga 7+7 tahun bagi peranti mercu tertentu.
Tetapan Kamera

Dari segi kamera, Samsung mengambil pendekatan berbeza untuk setiap model dalam siri baharu ini. Galaxy Z Fold8 hadir dengan sistem dwi-kamera utama yang terdiri daripada 50MP lebar dan 50MP sudut ultra lebar. Sementara itu, Galaxy Z Fold8 Ultra lebih premium dengan sistem tiga kamera iaitu 200MP lebar (f/1.7), 50MP sudut ultra lebar (f/2.2), dan 10MP telefoto (f/2.4).

Dua daripada tetapan kamera pada Fold8 Ultra masih sama seperti model tahun lalu, namun terdapat peningkatan penting pada lensa sudut ultra lebar yang beresolusi 50MP. Menurut Samsung, peningkatan ini mampu memberikan hasil sudut luas yang lebih jelas dengan kemampuan menangkap butiran lebih bai khususnya dalam pencahayaan malap. Untuk kamera swafoto, Fold8 Ultra mengekalkan konfigurasi 10MP di skrin luar dan 10MP lagi di bawah skrin utama.
Kapasiti Bateri
Dari segi kapasiti bateri, Galaxy Z Fold8 Ultra hadir dengan kapasiti terbesar iaitu 5000mAh, manakala Galaxy Z Fold8 sedikit lebih kecil dengan 4800mAh. Apa yang menjadi tumpuan utama semasa sesi taklimat media ialah sokongan pengecasan berwayar yang kini dinaikkan kepada 45W dan digunakan untuk kedua-dua model Fold8 dan Fold8 Ultra. Selain itu, kedua-duanya juga masih menyokong pengecasan nirwayar pada kadar 20W.
Walaupun peningkatan ini tidak membawa perubahan besar, langkah penyeragaman pada kadar pengecasan berwayar 45W memberi mesej bahawa siri Fold kali ini lebih konsisten. Namun pada asasnya, ia masih menunjukkan bahawa Samsung berada di belakang pesaing lain yang kini sudah mencapai kadar pengecasan lebih pantas. Sebagai contoh, vivo Fold6 menawarkan sehingga 80W sambil mengekalkan konsep peranti lipat dengan rekaan nipis.
Kesimpulan

Pada asasnya, siri Fold kali ini boleh dikatakan masih mengekalkan banyak persamaan dengan generasi sebelumnya. Namun, Samsung cuba memberikan kelainan melalui Galaxy Z Fold8 yang tampil dengan rekaan lebih lebar dan pendek. Pengalaman penggunaan ringkas turut memberikan persepsi awal yang positif terhadap perubahan bentuk tersebut, malah ia dirasakan cukup praktikal kerana menyerupai pengalaman menggunakan sebuah buku.

Dari sudut perkakasan dalaman, siri Fold kali ini masih dilihat berkuasa untuk menyokong keperluan semasa manakala penggunaan antaramuka baharu menjadikan pengalaman lebih tersusun dan kemas. Walaupun terdapat penambahbaikan kecil yang memberi nilai tambah, hakikatnya Samsung masih berdepan cabaran untuk menyaingi pesaing lain yang lebih agresif dalam menawarkan spesifikasi moden.





