Dalam pasaran telefon pintar semasa, rekaan dan keupayaan kamera merupakan antara aspek yang sering diberi perhatian oleh pengguna. Vivo V60 hadir sebagai model baharu yang menampilkan gabungan reka bentuk moden dan sistem kamera dengan fokus terhadap pengalaman fotografi. Pandang pertama ini memberi tumpuan kepada aspek rekaan dan kamera sahaja memandangkan maklumat berkaitan ciri lain masih belum boleh didedahkan sepenuhnya.

Reka Bentuk Peranti
Warna Berry Purple diperkenalkan sebagai salah satu pilihan utama bagi memberikan identiti peranti yang malar segar dan sedikit romantik. Tona ungu yang digunakan tidak terlalu terang malah cenderung kepada rona merah hati yang lebih lembut. Pilihan warna ini dilihat membantu dalam menyerlahkan rekaan keseluruhan peranti sambil membawa sentuhan elegan yang diilhamkan daripada buah beri. Kemasan pusam yang licin turut memainkan peranan dalam memantulkan cahaya dengan cara yang menjadikan warna nampak lebih hidup tanpa kesan kilauan berlebihan.

Selain Berry Purple, vivo V60 turut ditawarkan dalam dua lagi pilihan warna iaitu Summer Blue dan Mist Gray. Berdasarkan imej promosi, Summer Blue menampilkan gabungan lembut antara biru dan merah jambu yang menghasilkan tona menenangkan. Mist Gray pula membawa pendekatan minimalis dengan warna kelabu yang memberi kesan klasik. Ketiga-tiga pilihan tersebut mencerminkan usaha vivo untuk menawarkan variasi yang sesuai dengan gaya dan cita rasa pengguna masa kini.

Rekaan peranti mengekalkan bentuk yang kemas dan selesa dipegang dengan kemasan belakang yang halus bersama kilauan lembut bergantung pada sudut cahaya. Permukaan ini cenderung memerangkap kesan cap jari namun tidak terlalu ketara kecuali apabila terkena cahaya secara langsung.

Tetapan Kamera Peranti
Modul kamera disusun secara seimbang, sesuai dengan saiz peranti yang standard. Ia mengingatkan kepada susunan pada model X200 FE sebelum ini dengan dua sensor utama dalam satu bonggol menegak dan satu lagi sensor di luar bonggol bersebelahan LED Flash berbentuk cincin (Aura Light).
Berbanding dengan vivo V50 yang menggunakan modul kamera berbentuk bulat dan lebih menonjol, modul kamera pada V60 nampak lebih kemas dan rata. Pendekatan ini menjadikan rekaan belakang peranti kelihatan lebih tersusun dan moden.

Sistem kamera vivo V60 terdiri daripada kamera hadapan 50MP. Sementara itu, bahagian belakang pula menempatkan tiga kamera utama yang disokong oleh ZEISS dengan tetapan 50MP Sony IMX766 (OIS), telefoto Sony IMX882 50MP (OIS) dengan sokongan zum sehingga 100x serta ultra-lebar 8MP untuk rakaman sudut lebar.
Ini merupakan peningkatan berbanding vivo V50 yang hadir dengan kamera utama 50MP dan ultra-lebar 50MP serta disokong oleh ZEISS. Namun, satu kekurangan yang ketara pada V50 ialah ketiadaan kamera telefoto yang mengehadkan keupayaan rakaman jarak jauh dan potret dengan latar belakang yang lebih mendalam. Dengan penambahan lensa telefoto pada vivo V60, pengguna mempunyai lebih kebebasan untuk merakam subjek dari pelbagai jarak dan sudut.

Dalam penggunaan awal, mod zum pada vivo V60 menunjukkan peralihan yang lancar antara tahap 1x hingga 10x. Hasil imej yang dirakam masih mengekalkan butiran yang jelas dalam kebanyakan situasi. Selain keupayaan telefoto, vivo V60 turut menawarkan kebolehan mengambil gambar potret yang lebih pelbagai melalui ciri ZEISS Multifocal Portrait. Sokongan panjang fokus (focal length) seperti 23mm, 85mm dan 100mm membolehkan pengguna merakam gambar potret dengan sudut dan jarak berbeza bergantung kepada subjek.






Ciri rakaman pentas yang dikenali sebagai Stage Style turut diberikan sebagai pilihan tambahan untuk pengguna yang gemar merakam subjek dari jarak jauh khususnya dalam konsert. Ia membolehkan rakaman dilakukan dengan kejelasan tinggi walaupun dari tempat duduk belakang hasil bantuan algoritma yang meningkatkan butiran wajah dan tona kulit untuk hasil yang lebih semula jadi.
Pandangan Awal
Vivo V60 menampilkan perubahan dalam reka bentuk dan sistem kamera yang lebih moden. Warna Berry Purple memberikan sentuhan bergaya dengan pendekatan yang pernah digunakan vivo melalui warna Ancora Red pada model V50. Dari segi fungsi, kamera telefoto dan potret member kebebasan tambahan untuk pengguna yang gemar merakam dari pelbagai sudut.

Berdasarkan pengalaman awal, peranti ini sesuai untuk pengguna yang mengutamakan keseimbangan antara penampilan dan keupayaan fotografi tanpa mengabaikan aspek praktikal dalam penggunaan harian. Maklumat lanjut mengenai prestasi paparan, bateri, dan ciri perisian dalaman peranti akan dikongsikan dalam artikel ulasan seterusnya.



