Vivo merancang untuk memperkenalkan model terbaharu mereka X200 FE yang merupakan siri pertama seumpamanya dalam barisan peranti keluaran syarikat tersebut. Peranti ini merupakan langkah berani oleh Vivo dalam menawarkan pengalaman setaraf peranti mercu melalui rekaan kompak yang disasarkan kepada pengguna yang mengutamakan elemen menarik dan keselesaan penggunaan.

Bagi artikel kali ini, saya hanya akan memberikan tumpuan kepada aspek rekaan luaran terlebih dahulu. Untuk mereka yang ingin mengetahui dengan lebih terperinci tentang prestasi peranti, keupayaan kamera, serta ketahanan bateri nantikan ulasan penuh yang akan diterbitkan pada masa akan datang.
Apa Dalam Kotak?
Reka bentuk kotaknya masih mengekalkan identiti tersendiri siri vivo X. Ia berbentuk segi empat tepat, nipis, berwarna hitam, dan menampilkan gaya minimalis yang tetap eksklusif. Sekilas pandang, boleh dikatakan sudah dapat dijangka bahawa ini ialah salah satu model dalam siri vivo X.

Sebaik sahaja kotak dibuka, pengguna terus diperlihatkan dengan peranti X200 FE. Reka bentuk terbaharunya menampilkan ciri lebih berkotak dengan garisan bingkai yang ketara, sekali gus memberikan penampilan moden dan bergaya.
Di dalam kotak, pengguna turut menerima pelbagai aksesori asas, termasuk satu unit kerangka pelindung berwarna merah jambu yang memberikan petunjuk awal terhadap warna peranti, kepala pengecas, kabel USB-A ke USB-C, pencungkil SIM, serta buku panduan pengguna.
Reka Bentuk Peranti
Apabila dibandingkan dengan generasi terdahulu, vivo X200 FE menampilkan perubahan ketara menerusi reka bentuk modul kamera yang diperbaharui sepenuhnya. Bonggol kamera kini kelihatan lebih kemas dan tersusun, meskipun masih sedikit menonjol daripada permukaan peranti.

Antara aspek yang paling mencuri perhatian ialah pemilihan warna yang begitu ceria. Tubuh peranti ini dihiasi dengan rona merah jambu terang, manakala modul kameranya pula berwarna hitam. Kontra yang ketara ini mungkin menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna, namun tidak dapat dinafikan bahawa reka bentuknya menyerlah dan memiliki identiti yang tersendiri.

Menariknya, peranti ini amat selesa untuk digenggam. Gabungan saiz tubuh yang kompak dengan reka bentuk berkotak memberikan rasa premium yang jelas. Bagi pengguna yang pernah memegang iPhone 14, pasti akan merasai tahap keselesaan genggaman yang hampir serupa. Permukaan hadapan, belakang dan sisi yang rata pula memudahkan pemilihan pelindung skrin yang sesuai, memandangkan keseluruhan binaannya direka secara rata.

Meskipun reka bentuknya kelihatan berkotak, bingkai peranti ini tetap dilengkapi dengan lengkungan kecil pada bahagian sisi yang meningkatkan keselesaan semasa penggunaan harian. Reka bentuk ini memastikan genggaman terasa selesa dan tidak menyakitkan tangan. Malah, rakan-rakan sepejabat turut berkongsi pandangan bahawa peranti ini menawarkan pengalaman genggaman yang amat menyenangkan.
Skrin Peranti
vivo X200 FE boleh dianggap sebagai model yang paling hampir dengan versi Pro Mini yang sekian lama dinantikan oleh peminat peranti bersaiz kompak. Meskipun model Pro Mini tidak pernah dilancarkan secara rasmi di Malaysia, kemunculan X200 FE dilihat sebagai langkah strategik vivo untuk mengisi kekosongan tersebut.

Justeru, tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa inilah pengganti tidak rasmi yang ditawarkan oleh vivo kepada pengguna tempatan yang menginginkan prestasi setaraf peranti flagship dalam rekaan yang lebih kecil dan bergaya. Namun begitu, dari segi spesifikasi, pastinya terdapat beberapa perbezaan ketara khususnya dalam aspek seperti cip pemprosesan, kualiti kamera dan ciri tambahan yang disertakan.

Skrin vivo X200 FE menggunakan saiz 6.3 inci sejenis AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz. Ciri ini boleh memastikan pengalaman visual yang lancar dan menyeronokkan sama ada untuk kegunaan harian, penstriman video, mahupun permua. Paparan vivo X200 FE turut dipertingkat melalui kalibrasi warna oleh ZEISS yang menghasilkan tona warna lebih tepat, hidup dan selesa untuk dilihat dalam pelbagai keadaan pencahayaan.


Susun atur butang peranti ini masih mengekalkan standard industri, dengan butang kuasa dan pelaras audio terletak di bahagian kanan, manakala sisi kiri dibiarkan kosong sepenuhnya. Di bahagian bawah pula, terdapat port USB-C, pembesar suara, serta slot untuk kad SIM.
Pilihan Warna
Vivo menawarkan empat pilihan warna yang menampilkan identiti tersendiri iaitu merah jambu ceria, kuning menawan, biru lembut dan hitam klasik. Unit yang saya gunakan kali ini berwarna merah jambu, dan ternyata kelihatan sangat menyerlah, terutamanya apabila terkena cahaya. Ia bukan sekadar merah jambu biasa, sebaliknya tonanya benar-benar ‘pop’ dan menarik perhatian.

Namun begitu, satu perkara kecil yang saya perhatikan ialah bingkai di sekeliling skrin berwarna hitam. Oleh itu, jika badan peranti berwarna cerah, kontras ini agak ketara dari segi visual. Selain itu, tulisan di bahagian belakang kini berwarna hitam menggantikan rona kelabu ikonik yang digunakan sebelum ini.

Kamera Dan Fungsi Awal
Kamera utama vivo X200 FE dilengkapi dengan sensor 50MP ZEISS Super Telephoto serta pelbagai ciri menarik seperti Stage Mode, ZEISS Multifocal Portrait, AI Image Studio dan Image Expander. Namun begitu, seperti kebiasaannya, angka megapiksel bukanlah penentu utama. Kualiti akhir imej banyak bergantung pada keupayaan pemprosesan oleh perisian kamera.


Menariknya, antaramuka kamera kini telah disusun semula. Tab untuk profil warna telah digabungkan di bawah pilihan ‘Filters’. Pada mulanya, saya sedikit keliru namun selepas beberapa percubaan, saya berjaya menyesuaikan diri dan menemui semula fungsinya dengan mudah.





Berdasarkan pengalaman awal, hasil gambar kelihatan sangat tajam dan penuh perincian, terutamanya apabila pencahayaan mencukupi. Warna nampak hidup dan julat dinamiknya juga memuaskan. Saya akan terus menguji kamera ini dalam pelbagai keadaan termasuk penggambaran pada waktu malam dan mod potret. Untuk ulasan penuh kelak, saya akan kongsikan lebih banyak contoh gambar sebagai rujukan.






Kesimpulan
Secara keseluruhannya, dari segi reka bentuk luaran, vivo X200 FE merupakan sebuah peranti yang kompak dan amat selesa untuk digenggam. Ia menampilkan gaya unik yang tersendiri dalam kelasnya. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai prestasi sebenar, ketahanan bateri serta keupayaan kamera secara menyeluruh nantikan artikel ulasan penuh pada masa akan datang.

