Panduan PKS tempatan menilai potensi pasaran antarabangsa

Business & Finance
17 Aug 2026 • 7:15 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Panduan PKS tempatan menilai potensi pasaran antarabangsa

MEMULAKAN langkah mengeksport produk dan perkhidmatan ke luar negara merupakan strategi penting bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan menambah sumber pendapatan serta mempelbagaikan pasaran.

Langkah melangkah ke pasaran antarabangsa bukan sahaja dapat mengurangkan risiko bergantung sepenuhnya kepada pasaran domestik yang semakin tepu, malah berupaya meningkatkan daya saing perniagaan secara menyeluruh.

Selain itu, aktiviti eksport membolehkan syarikat mencapai ekonomi berskala dan memanfaatkan kapasiti pengeluaran berlebihan secara optimum.

Namun begitu, proses menembus pasaran global bukanlah satu tugasan mudah yang boleh dibuat tanpa persediaan rapi, sebaliknya memerlukan strategi berfokus agar risiko kegagalan dapat diminimumkan.

Mengikut e-Buku Panduan Asas Mengeksport Edisi ke-4 yang dikeluarkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) pada Jun 2020, usahawan perlu menilai tahap ketersediaan perniagaan secara mendalam sebelum menceburi pasaran antarabangsa.

Antara panduan dan persediaan utama yang perlu diteliti oleh PKS adalah seperti berikut:

Kaji kebolehsediaan operasi dan kapasiti pengeluaran

Sebelum menerima tempahan dari luar negara, syarikat perlu memastikan kapasiti pengeluaran berupaya ditingkatkan bagi memenuhi permintaan yang tinggi.

Ini merangkumi kesediaan melabur dalam aset atau mesin baharu serta memastikan bekalan bahan mentah sentiasa mencukupi agar rantaian bekalan tidak terputus di pertengahan jalan.

Kukuhkan kedudukan kewangan dan fahami instrumen pembayaran

Menembus pasaran antarabangsa memerlukan kedudukan kewangan syarikat yang kukuh dan stabil bagi menampung kos operasi awal.

PKS perlu mempunyai akses kepada fasiliti pembingaan daripada bank perdagangan atau agensi kerajaan, selain memahami pelbagai instrumen pembayaran antarabangsa bagi mengelakkan masalah aliran tunai.

Bina modal insan berpengetahuan dan berasas pelbagai bahasa

Syarikat perlu disokong oleh tenaga kerja yang terlatih dan mempunyai pengetahuan mendalam mengenai prosedur kastam, logistik serta terma perdagangan antarabangsa (Incoterms).

Selain itu, memiliki modal insan yang berkemahiran tinggi serta fasih dalam pelbagai bahasa utama dunia akan memberi kelebihan besar semasa proses rundingan perniagaan.

Patuhi prosedur domestik dan klafikasi produk

Pengeksport perlu menentukan kod Sistem Terharmoni (HS) yang betul bagi produk mereka menerusi pihak kastam untuk memudah cara urusan dokumentasi.

Bagi penyedia perkhidmatan profesional pula, pendaftaran dengan badan kawal selia yang berkaitan serta pemahaman terhadap sistem klasifikasi antarabangsa adalah wajib sebelum mula beroperasi.

Penuhi syarat piawaian dan keperluan pasaran antarabangsa

Mematuhi piawaian dan akreditasi antarabangsa bukan sahaja meningkatkan daya saing produk, malah mempercepat akses masuk ke pasaran asing yang mempunyai kawalan ketat.

PKS perlu memastikan pembungkus dan pelabelan menepati syarat negara pengimport, termasuk aspek keselamatan produk, sijil kitar semula, serta ramuan yang digunakan.

Bina pelan pemasaran eksport berasaskan analisis SWOT

Syarikat disaran menyediakan pelan eksport berstruktur dengan menggunakan analisis Kekuatan, Kelemahan, Peluang dan Ancaman (SWOT) untuk menentukan arah tuju perniagaan.

Pelan ini perlu mengambil kira faktor sosiobudaya setempat, tahap penggunaan teknologi, undang-undang persaingan serta penetapan harga dalam mata wang antarabangsa yang stabil.

Gunakan kaedah kemasukan pasaran yang sesuai

Terdapat pelbagai kaedah untuk menembus pasaran luar, sama ada secara langsung, tidak langsung, francais, pelesenan, mahupun menerusi usaha sama (joint venture).

Pilihan kaedah kemasukan ini perlu disesuaikan dengan tahap kemampuan modal insan, kekuatan kewangan serta toleransi risiko yang boleh ditanggung oleh syarikat.

Manfaatkan kemudahan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA)

Pengeksport disaran memanfaatkan pelbagai FTA yang ditandatangani Malaysia bagi menikmati kelebihan tarif lebih rendah atau sifar serta prosedur kastam yang lebih mudah.

Syarikat perlu menyemak kelayakan jadual pengurangan tarif, memenuhi syarat Peraturan Tempasal (Rules of Origin) dan memohon Sijil Tempasal Berkeutamaan (Preferential Certificate of Origin) menerusi Dagang Net.

Dapatkan khidmat nasihat agensi rasmi dan elak penipuan

PKS tempatan digalakkan berdaftar secara percuma dengan Matrade bagi mengakses maklumat pasaran terkini melalui Pusat Informasi Perniagaan (BIC) dan Unit Khidmat Nasihat Pengeksport (EAU). – UTUSAN

The post Panduan PKS tempatan menilai potensi pasaran antarabangsa appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved