
KUALA LUMPUR – Malaysia International Craft Fair (MICF) 2026 menyasarkan nilai jualan sebanyak RM20 juta menerusi penyertaan 400 usahawan kraf tempatan dan antarabangsa, selain menjadikan limpahan pelancong sempena Formula 1 (F1) sebagai peluang untuk memperkenalkan warisan kraf Malaysia ke peringkat global.
Buat julung kalinya dianjurkan pada 24 September hingga 5 Oktober ini dari pukul 10 pagi hingga 10 malam di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, MICF 2026 menjangkakan kehadiran kira-kira 100,000 pengunjung, termasuk pelancong antarabangsa yang berada di negara ini bagi menyaksikan perlumbaan F1 Bahrain Grand Prix pada 2 hingga 4 Oktober.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, penganjuran MICF dalam tempoh yang sama dengan F1 memberi peluang signifikan dalam menarik limpahan pelawat antarabangsa untuk mengenali kepelbagaian seni, budaya dan warisan kraf tempatan.
Menurutnya, MICF bukan sekadar menjadi medan jualan produk kraf, sebaliknya turut berperanan sebagai produk pelancongan budaya yang melengkapkan pengalaman pelawat sepanjang berada di Malaysia.
“MICF 2026 membawa pendekatan strategik melalui penyertaan antarabangsa daripada lebih 20 buah negara, menjadikan program ini sebagai ruang pertemuan antara usahawan tempatan, penggiat industri, pembeli, pereka bentuk dan komuniti kraf global bagi membuka peluang jaringan perniagaan serta kerjasama baharu.
“Ia berbeza daripada acara kraf sebelum ini kerana ia berperanan sebagai platform promosi, pemasaran, jaringan perniagaan dan diplomasi budaya yang mampu mengangkat industri kraf Malaysia ke peringkat antarabangsa,” katanya pada majlis pra-pelancaran MICF 2026 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Senia dan Budaya (MOTAC), Datuk Surrendren Sathasivam; Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Datuk Mohd. Yusri Mohd. Yusoff; Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Abdul Halim Ali; dan Timbalan Pengerusi Kraftangan Malaysia, Tan Sri Dr. Ong Hong Peng.
Selain jualan produk kraf tempatan dari seluruh Malaysia, MICF 2026 anjuran MOTAC menerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia bakal menyajikan tarikan istimewa yang memberikan pengalaman baharu kepada pengunjung termasuk Pameran, Ekspresi dan Eksplorasi Kraf, Bicara Kraf Antarabangsa, Peragaan Fesyen Antarabangsa, Persembahan Kesenian serta Aktiviti Galakan Pengunjung.
Turut diadakan pelbagai aktiviti dengan kerjasama rakan strategik seperti Masakan Menu Tradisi, Pertandingan Reka Cipta Baju Kurung dan Baju Kebaya, Pertandingan Koir, Pertandingan Seni Kreatif Kompang, Treasure Hunt, Pertandingan Tarian Warisan Malaysia (Zapin dan Caklempong), Pertandingan Nyayian Warisan Malaysia, Persembahan Tarian Tradisional dan Kontemporari, Pertandingan Ratu Kebaya, Kejohanan Silat Seni dan Sayembara Dikir Barat.
Menariknya, MICF 2026 turut mengangkat keunikan seni kraf antarabangsa menerusi demonstrasi kraf daripada enam negara iaitu China yang mengetengahkan seni Ukiran Jade, New Zealand (Ukiran Maori), Uzbekistan (Jewellery Art), Sri Lanka (Beeralu Lace Work), Indonesia (Seni Kulit) dan India (Tarkashi Brass Inlay).
Pengisian ini memberi peluang kepada pengunjung untuk menyaksikan secara langsung kepelbagaian teknik dan kehalusan seni kraf dari pelbagai negara, selain demonstrasi kraf tempatan melibatkan 10 orang Adiguru Kraf dan usahawan kraf.
Maklumat lanjut boleh didapati di www.micf.com.my.
The post MICF 2026 sasar RM20 juta, manfaatkan limpahan peminat F1 appeared first on Kosmo Digital.






