
PERUSAHAAN kecil dan sederhana (PKS) tempatan perlu menstruktur semula model pengurusan aliran tunai dan tadbir urus jika mahu terus berdaya saing di pasaran antarabangsa.
Sebaliknya, pematuhan undang-undang, kecekapan kitaran kewangan serta penggunaan instrumen pembiayaan rantaian bekalan moden menjadi kunci utama untuk menarik keyakinan pelabur global.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Meja China, Perbankan Korporat dan Pelaburan UOB Malaysia, Lim Lian Kian berkata, cabaran terbesar bagi PKS apabila mengembangkan operasi ke China, Hong Kong atau rantau ASEAN adalah untuk mengoptimumkan aliran tunai tanpa menjejaskan keupayaan syarikat.
Katanya, PKS perlu meneliti semula model perniagaan mereka dengan memendekkan kitaran tunai operasi menerusi rundingan tempoh bayaran yang lebih baik bersama pelanggan.
“Sekiranya PKS berjaya memendekkan kitaran tunai ini, mereka berupaya menggandakan sumbangan pertumbuhan perniagaan. Namun, proses memindahkan dana secara rentas sempadan selalunya agak rumit dan mencabar.
“Sebab itu syarikat boleh memanfaatkan penyelesaian seperti pengumpulan tunai berasaskan rantau (regional cash pooling) menerusi platform digital bagi melancarkan pergerakan dana tertakluk kepada peraturan tempatan,” katanya semasa sesi forum merentas profesion di Seminar Perniagaan Hong Kong-Malaysia baru-baru ini.
Menurut beliau, perbankan konvensional yang sering menilai syarikat berdasarkan rekod prestasi sejarah atau cagaran kini perlu berubah mengikut keperluan pasaran.
“Bagi PKS yang menghadapi kekangan dana tetapi berada dalam rantaian bekalan syarikat multinasional (MNC) berprestasi tinggi, mereka boleh memanfaatkan pembiayaan rantaian bekalan.
“Langkah ini membolehkan PKS menggunakan kekuatan kredit dan imbangan duga pembeli utama untuk mendapatkan kelulusan pembiayaan dengan lebih mudah,” katanya.
Tambahnya, PKS yang berpotensi tinggi juga berpeluang dihubungkan secara terus dengan pelabur strategik bagi aktiviti pengumpulan dana tanpa bergantung sepenuhnya kepada pinjaman bank tradisional.
Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Undang-Undang Hong Kong, Careen Wong berkata, aspek pematuhan undang-undang tidak seharusnya dilihat sebagai kos bebanan semata-mata oleh usahawan.
Katanya, pematuhan kawal selia yang ketat dan dokumentasi yang teratur sebenarnya merupakan strategi berkesan untuk meningkatkan nilai penilaian syarikat serta membina keyakinan pelabur.
“Syarikat yang mahu berkembang di peringkat antarabangsa mesti menghormati undang-undang setempat dan menyimpan rekod perniagaan yang lengkap. Sikap memandang rendah aspek dokumentasi hanya akan merugikan syarikat di kemudian hari.
“Satu amalan yang dibenarkan di sesebuah negara tidak semestinya terpakai di negara lain, jadi pemahaman terhadap budaya serta perbezaan perundangan rentas sempadan adalah sangat kritikal,” jelasnya.
Menurut beliau, Hong Kong mempunyai kelebihan strategik dalam membantu syarikat tempatan dan antarabangsa kerana wilayah itu memiliki hampir 1,800 peguam asing dari seluruh dunia yang berdaftar di bawah persatuan berkenaan.
“Kehadiran firma peguam antarabangsa termasuk dari Malaysia di Hong Kong membantu perniagaan memahami perbezaan sistem perundangan dan memastikan operasi berjalan lancar tanpa melanggar kawal selia,” katanya. – UTUSAN
The post Struktur semula aliran tunai bantu PKS rentas sempadan appeared first on Utusan Malaysia.


