Panel MA63 arah percepat penyelesaian isu 

LocalPolitics
4 Aug 2026 • 12:48 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Panel MA63 arah percepat penyelesaian isu 

PUTRAJAYA: Kementerian dan agensi Persekutuan diarahkan mempercepatkan penyelesaian baki isu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menjelang mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang akan dipengerusikan Perdana Menteri pada September.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud (gambar) mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 pada Isnin bagi pihak Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Datuk Seri Fadillah Yusof yang sedang menjalani rawatan.

Beliau berkata mesyuarat itu meneliti perkembangan terkini pelaksanaan perkara yang telah dipersetujui di bawah MA63.

“Kami telah mengarahkan semua kementerian dan agensi berkaitan supaya memberi keutamaan kepada penyelesaian baki isu MA63 agar pelaksanaannya dapat dipercepatkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mustapha berkata mesyuarat itu turut membincangkan beberapa inisiatif strategik yang sedang diperhalusi menerusi platform MTPMA63.

Antaranya ialah pelaksanaan Borneonisasi perkhidmatan awam, usaha merapatkan jurang perkhidmatan kesihatan serta langkah memperkukuh sektor pendidikan di Sabah dan Sarawak.

“Pendekatan rundingan berterusan menerusi jawatankuasa kerja dan Jawatankuasa Teknikal telah membuktikan bahawa kemajuan yang signifikan dapat dicapai melalui permuafakatan, kepercayaan dan saling menghormati antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya.

Antara perkembangan penting yang dibentangkan ialah peningkatan Pemberian Khas Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada RM1.5 bilion bagi tahun 2026.

Mesyuarat itu turut dimaklumkan mengenai pemindahan Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak pada 21 Julai.

Mustapha berkata kedua-dua perkembangan itu mencerminkan kemajuan berterusan dalam pelaksanaan MA63.

“Pencapaian ini menunjukkan bahawa pelaksanaan MA63 di bawah Kerajaan Madani bukan sekadar memenuhi komitmen lalu, malah terus berkembang secara dinamik selaras dengan keperluan semasa serta aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya.

Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal itu diadakan sebagai persediaan menjelang mesyuarat MTPMA63 yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved