
KUALA LUMPUR: Kepentingan Sabah dan Sarawak akan terus diutamakan dalam setiap agenda reformasi institusi yang dilaksanakan di peringkat Persekutuan khususnya melibatkan pindaan Perlembagaan dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu menjadi antara tumpuan Kerajaan Madani sejak mengambil alih pentadbiran pada 2022.
Katanya, wakil dari kedua-dua negeri sentiasa dilibatkan dalam setiap rang undang-undang (RUU) berkaitan reformasi institusi termasuk pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam semua RUU yang kita bawa untuk reformasi institusi termasuk yang melibatkan pindaan Perlembagaan, ahli-ahli daripada Sabah dan Sarawak memang tidak ketinggalan.
“Ini bererti bahawa tidak ada sekalipun keadaan dalam pindaan kepada mana-mana RUU khususnya Perlembagaan, yang menafikan peranan ahli politik dari Sabah dan Sarawak,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Edward Linggu Bukut berhubung langkah kerajaan memastikan kepentingan Sabah dan Sarawak berkaitan MA63 disertakan dalam pembaharuan institusi di peringkat Persekutuan.
Dalam pada itu, Azalina berkata, kerajaan kekal komited melaksanakan agenda reformasi institusi secara berperingkat bagi memperkukuh tadbir urus, kedaulatan undang-undang dan perlindungan hak rakyat.
Beliau berkata, sebanyak 21 inisiatif reformasi utama berjaya dilaksanakan dari 2022 hingga 2025 merangkumi pemansuhan hukuman mati mandatori, penubuhan Tribunal Anti-Buli serta pengukuhan struktur bantuan guaman dan perlindungan kanak-kanak.
Katanya, pelaksanaan itu turut melibatkan pemulihan autonomi Parlimen menerusi Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 selain pelbagai pembaharuan dalam bidang ekonomi, komersial, keadilan dan keselamatan siber.
“Dalam usaha meneruskan momentum reformasi ini, kerajaan sedang melaksanakan beberapa inisiatif reformasi utama bagi tahun ini.
“Reformasi ini merangkumi pelbagai pembaharuan institusi yang bertujuan memperkukuh tadbir urus negara, meningkatkan akauntabiliti institusi serta memperkasakan sistem semak dan imbang,” katanya.
Menurut Azalina, antara fokus utama reformasi tahun ini ialah pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi memperkukuh kebebasan institusi pendakwaan serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan.
Katanya, kerajaan juga telah membentangkan semula pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun sebagai langkah memperkukuh tadbir urus demokratik dan meningkatkan akauntabiliti kepimpinan negara. – UTUSAN
The post Sabah, Sarawak terus diutamakan dalam reformasi institusi appeared first on Utusan Malaysia.






