
Kota Kinabalu: Keputusan Kerajaan Persekutuan melepas-kan hak ke atas 3,655.60 hektar tanah strategik di Sarawak kepada kerajaan negeri merupakan satu lagi langkah penting dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.
Beliau berkata langkah itu membuktikan komitmen Kerajaan Madani dalam menterjemahkan MA63 kepada tindakan yang memberi manfaat serta memenuhi keperluan pembangunan semasa Sabah dan Sarawak.
Keputusan terbaharu itu susulan memorandum Jemaah Menteri yang dibentangkan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berhubung cadangan pemindahan hak milik Persekutuan ke atas tapak bekas Rajang Area Security Command (Rascom) di Sibu kepada Kerajaan Sarawak.
Cadangan itu melibatkan empat kawasan, iaitu Nanga Tada, Nanga Jagau, Nanga Ngungun dan Nanga Sekuau, dengan keluasan keseluruhan 3,655.60 hektar.
Sebagai sebahagian daripada proses pemindahan itu, Kerajaan Sarawak akan membayar balik sebanyak RM9,985,408.50 bagi menampung kos yang ditanggung dalam proses pengambilan tanah serta pembayaran cukai tanah bagi tanah yang didaftarkan atas nama Pesuruhjaya Tanah Persekutuan di Sarawak.
Mustapha berkata pelaksanaan itu mencerminkan pendekatan yang tersusun dalam melaksanakan MA63 berdasarkan proses perundangan serta kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
“Keputusan ini melengkapkan pelaksanaan resolusi terdahulu Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), yang turut menyaksikan beberapa lot tanah Persekutuan yang belum dibangunkan dipulangkan kepada Kerajaan Sarawak bagi membolehkan kawasan berkenaan dirancang dan dimajukan mengikut keutamaan negeri,” katanya, Khamis.
Beliau berkata pendekatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam melaksanakan MA63 membolehkan pelbagai isu yang sekian lama tertangguh diselesaikan secara berperingkat tanpa menjejaskan hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sabah dan Sarawak.
Menurut Mustapha, antara pencapaian yang telah direkodkan ialah peningkatan Geran Khas Interim Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion setahun.
Beliau yakin pelaksanaan MA63 yang berterusan akan terus memperkukuh kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan, selain memastikan setiap keputusan yang diambil memberi manfaat kepada rakyat di kedua-dua wilayah.






