
KUALA LUMPUR – Beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing enggan terlalu dibuai rentetan kemenangan di China Masters apabila menganggap kemampuan mengekalkan konsistensi menjadi cabaran sebenar menjelang aksi separuh akhir di Guangdong, China hari ini.
Pasangan ranking ke-85 dunia itu meneruskan kempen cemerlang selepas menyingkirkan wakil Taiwan, Liu Kuang Heng-Hsu Yin Hui yang berada di ranking ke-48 dunia 24-22, 21-5 dalam tempoh 36 minit pada suku akhir, hari ini.
Kejayaan itu menyaksikan Pang Ron-Pei Jing mara ke separuh akhir kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super 750 buat kali pertama sejak membentuk kerjasama pada Malaysia Masters, Mei lalu.
“Perkara yang paling sukar adalah bagaimana untuk mengekalkan prestasi baik ini, kami perlu belajar cara berbuat demikian.
“Tapi kami ada perlawanan, esok, jadi kami tak mahu fikir terlalu jauh tentang masa depan buat masa ini. Kami perlu fokus perlawanan demi perlawanan sekarang,” kata Pang Ron kepada BWF selepas perlawanan.
Kemaraan mereka lebih mencuri tumpuan selepas turut mencipta kejutan di pusingan 16 terbaik apabila menyingkirkan pasangan pilihan tuan rumah yang menghuni ranking kesembilan dunia, Cheng Xing-Zhang Chi 24-22, 21-19.
Pang Ron-Pei Jing bakal berdepan pasangan ranking ke-28 dunia dari China, Zhu Yi Jun-Li Qian di separuh akhir dan meskipun belum pernah bertemu sebagai pasangan, kedua-duanya mempunyai pengalaman berdepan lawan tersebut ketika bersama gandingan terdahulu. KOSMO! ONLINE
The post Pang Ron-Pei Jing mahu rentak berterusan appeared first on Kosmo Digital.



