
PETALING JAYA – Hasrat beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing untuk menutup perjalanan empat bulan sebagai gandingan baharu dengan membutirkan gelaran sulung tidak kesampaian selepas tewas kepada pasangan No.1 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping pada aksi final China Masters di Arena Shenzhen, hari ini.
Gandingan No.85 dunia itu bagaimanapun boleh berbangga selepas menamatkan kempen di China dengan status naib juara, sekali gus melakar pencapaian terbaik mereka sejak mula digandingkan April lalu.
Turun sebagai pasangan berstatus bukan pilihan, Pang Ron-Pei Jing cuba memberi saingan kepada juara dunia dari China itu, namun terpaksa akur tewas dengan keputusan 19-21, 16-21 dalam tempoh 50 minit.
Kekalahan itu menyaksikan Pang Ron-Pei Jing gagal meneruskan kejutan selepas sebelum ini menyingkirkan pasangan tuan rumah, Zhu Yi Jun-Li Qian 21-12, 21-10 pada aksi separuh akhir.
Perjalanan mereka ke final juga cukup menarik selepas menewaskan beberapa pasangan lebih berpengalaman sebelum akhirnya berdepan cabaran paling sukar menentang Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.
Meskipun gagal membawa pulang trofi, kemaraan ke final China Masters membuktikan gandingan Pang Ron-Pei Jing semakin serasi selepas baru beberapa bulan membentuk kerjasama, selain memberi petanda positif untuk kejohanan seterusnya.
Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping pula meneruskan status mereka sebagai pasangan terbaik dunia apabila berjaya mempertahankan penguasaan di laman sendiri, manakala Pang Ron-Pei Jing terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara dalam penampilan final pertama mereka bersama. KOSMO! ONLINE
The post Pang Ron-Pei Jing naib juara di Terbuka China appeared first on Kosmo Digital.






