
BEREGU campuran negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing membuktikan gandingan mereka semakin serasi apabila mara ke final Kejohanan Badminton China Masters di Shenzhen, China, semalam.
Pang Ron-Pei Jing yang menghuni ranking ke-85 dunia tampil dengan persembahan cukup kemas selepas menundukkan gandingan tuan rumah, Zhu Yi Jun-Li Qian, yang berada di ranking ke-28 dunia dengan kemenangan straight set 21-12, 21-10 dalam masa 34 minit pada aksi separuh akhir di Shenzhen Arena.
Kemenangan itu menyaksikan mereka melangkah ke final pertama kejohanan berstatus Super 750 sejak digandingkan, sekali gus menjadi pencapaian terbesar pasangan berkenaan setakat ini.
Hasil kemenangan tersebut, beregu profesional tersebut bakal berdepan dengan pasangan handalan tuan rumah, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.
Beregu No. 1 dunia dari China itu menyingkirkan satu lagi gandingan Malaysia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang menghuni ranking No. 11 dunia 21-11, 24-22 dalam masa 50 minit.
Bagi Pei Jing, kejayaan itu cukup istimewa apabila ia menjadi penampilan pertamanya di final kejohanan berstatus Super 750, manakala Pang Ron pula mara ke final Super 750 buat kali kedua selepas pernah melakukannya bersama pasangan berbeza.
“Saya sangat, sangat gembira sekarang. Saya tidak dapat menggambarkan perasaan lain selain gembira dan bangga,” kata Pei Jing kepada BWF selepas perlawanan.
Bagi Pang Ron, pencapaian kali ini turut mempunyai nilai tersendiri kerana dia sekali lagi berjaya menembusi final Super 750 di lokasi sama, namun kali ini bersama gandingan baharu selepas menukar pasangan.
“Bagi saya, perasaannya berbeza kerana saya melakukannya bersama dua pasangan berbeza. Ini juga salah satu pencapaian saya, tetapi saya harap kami dapat melakukan yang terbaik pada final nanti,” katanya.
Menariknya, kejayaan mereka hadir selepas berehat daripada menyertai kejohanan selama kira-kira tiga bulan, tempoh yang dimanfaatkan untuk menjalani latihan lebih panjang bagi membina keserasian sejak bergandingan.
Pang Ron berkata, mereka tidak bergantung kepada kesilapan lawan untuk mengawal permainan sebaliknya memilih untuk memberikan tekanan secara berterusan, manakala Pei Jing mengakui fokus kepada setiap mata menjadi kunci kemenangan.
The post Pang Ron-Pei Jing sedia jumpa gandingan No. 1 dunia appeared first on Kosmo Digital.






