Kerap kali juga panggilan audio dan video saya terima tetapi pada waktu tersebut sedang sibuk bekerja menggunakan komputer. Kerja perlu dihentikan dan panggilan dijawab di telefon. Tetapi bermula hari ini, panggilan audio dan video akhirnya boleh dijawab atau dilakukan terus menggunakan WhatsApp Web.

Panggilan audio dan video secara peribadi atau berkumpulan boleh dilakukan menerusi pelayar web tanpa perlu muat turun aplikasi WhatsApp di komputer. Ciri seperti screen sharing, reactions, tab Calls, dan melihat sejarah panggilan kesemuanya boleh dilihat menerusi tab WhatsApp di pelayar web yang digunakan.
Selain itu, pengguna turut boleh memindahkan panggilan daripada telefon, tablet, desktop atau WhatsApp Web tanpa menutup panggilan yang diterima terlebih dahulu. Selain itu ciri bilik menunggu dan mengurangkan bunyi bising turut boleh digunakan pada versi pelayar web. Ciri ini sedang diberikan kepada semua pengguna WhatsApp secara berperingkat bermula hari ini.




