Panggung wayang di China tawar perkhidmatan tidur tengah hari

2 Sep 2026 • 8:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Panggung wayang di China tawar perkhidmatan tidur tengah hari

XIAN: Sebuah panggung wayang di barat laut China mencuri perhatian ramai di media sosial selepas memperkenalkan perkhidmatan tidur tengah hari lengkap dengan kerusi boleh laras khas untuk pekerja beristirehat semasa waktu rehat.

Inisiatif popular di Lumiai Cinema yang terletak di Xian, wilayah Shaanxi itu mula beroperasi sejak April tahun lalu, menurut laporan Jimu News.

Menerusi langganan bulanan bernilai 39.9 yuan (RM24) bagi pas individu dan 59.9 yuan (RM36) bagi pas berdua, pelanggan boleh menikmati tidur yang menyegarkan di dua dewan tayangan khas pada setiap hari bekerja.

Pengurus panggung wayang berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Xu memaklumkan perkhidmatan tersebut diperkenalkan bagi meningkatkan kadar penggunaan dewan tayangan yang biasanya agak rendah pada hari bekerja.

Premis ini menyediakan dua dewan tayangan khas dengan 76 kerusi boleh laras yang boleh dibaringkan rata dari pukul 12 tengah hari hingga 2.30 petang.

Bagi memanjakan pelanggan, selimut, kopi, serta pelbagai minuman ditawarkan secara percuma, manakala palam telinga dan penutup mata pakai buang boleh dibeli pada harga 5.9 yuan (RM3.54) setiap satu.

Pihak pengurusan turut menetapkan etika ketat apabila pelanggan diminta mematikan bunyi telefon bimbit serta diwajibkan sentiasa memakai kasut di dalam kawasan tidur demi menjaga keselesaan bersama.

Menariknya, dua ruang berbeza disediakan iaitu Leisure Screening Hall yang menjadi pilihan utama kerana kerusinya yang lebih luas, serta Massage Seat Hall yang dilengkapi kerusi urut.

Bagi pelanggan yang berdengkur, kakitangan panggung wayang akan menegur secara berhemah dan mengarahkan mereka ke dewan kerusi urut yang kurang padat agar tidak mengganggu ketenteraman pelanggan lain.

Amalan tidur tengah hari sebenarnya merupakan satu budaya yang meluas di China kerana dipercayai membawa pelbagai kebaikan untuk kesihatan.

Tinjauan terbaharu yang diterbitkan oleh Pertubuhan Penyelidikan Tidur China pada Mac lalu mendapati lebih 70 peratus rakyat China mengamalkan tidur tengah hari sekurang-kurangnya selama 30 minit setiap hari. -AGENSI

The post Panggung wayang di China tawar perkhidmatan tidur tengah hari appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved