
PETALING JAYA – Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kini menjadi sandaran Malaysia untuk memburu tiket final Kejohanan Badminton Dunia 2026 selepas mara ke separuh akhir di Stadium Tertutup Indira Gandhi, New Delhi, sebentar tadi.
Juara dunia 2022 itu tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan wakil China, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi menerusi kemenangan straight set 21-11, 21-17 dalam tempoh 35 minit pada aksi suku akhir.
Kemenangan tersebut turut menyaksikan pilihan keempat kejohanan itu mengekalkan rekod bersih ke atas Ke Yuan-Xiang Yi dengan tiga kemenangan daripada tiga pertemuan, selain sekurang-kurangnya sudah menjamin pingat gangsa.
Bagaimanapun, hasrat menyaksikan pertembungan sesama wakil Malaysia di separuh akhir tidak kesampaian selepas Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani gagal melepasi cabaran pilihan utama dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
Sze Fei-Izzuddin yang turun selaku pilihan keenam kejohanan terpaksa akur kepada kehebatan juara bertahan itu apabila tewas straight set 16-21, 16-21 dalam pertarungan selama 41 minit.
Keputusan tersebut menyaksikan Aaron-Wooi Yik bakal berdepan Won Ho-Seung Jae di separuh akhir esok dengan tiket ke pentas final menjadi taruhan dalam usaha mereka memburu gelaran dunia kedua.
Aaron-Wooi Yik sebelum ini mencipta sejarah sebagai beregu Malaysia pertama bergelar juara dunia apabila muncul juara pada edisi 2022 di Tokyo, Jepun sebelum menambah pingat gangsa di Copenhagen, Denmark setahun kemudian.
Kini, gandingan berpengalaman negara itu berpeluang kembali ke pentas final selepas tiga tahun, namun perlu terlebih dahulu melepasi halangan getir juara bertahan dari Korea Selatan bagi meneruskan impian mengulangi kegemilangan Tokyo. KOSMO! ONLINE
The post Aaron-Wooi Yik galas cabaran ke final appeared first on Kosmo Digital.



