
LUMUT: Jerebu yang melanda negara ketika ini tidak menghalang orang ramai bercuti pada hujung minggu apabila kedatangan pelancong ke Pulau Pangkor masih tinggi.
Keadaan itu turut didorong bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di sekitar Manjung yang bertambah baik hari ini apabila mencatat tahap sederhana iaitu 89 berbanding 159, semalam yang berada pada tahap tidak sihat.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati Jeti Lumut dan Jeti Pangkor dipenuhi penumpang yang menaiki feri, sama ada untuk ke Pulau Pangkor dan pulang ke tanah besar.
Pengurus Mesra Feri Sdn. Bhd., Asrol Hailmy Bakhtiar Affandi berkata, jumlah pelancong yang menaiki feri masih tinggi walaupun negara dilanda jerebu.
Menurutnya, keadaan itu mungkin disebabkan sebahagian besar pelancong telah merancang percutian mereka lebih awal.
“Sejak Jumaat, Sabtu sehingga hari ini, jumlah pelancong tetap ramai. Ini dapat dilihat menerusi suasana sama ada di di Jeti Lumut dan Jeti Pulau Pangkor.
“Malah, kami terpaksa meningkatkan kekerapan ulang-alik feri dari Lumut ke Pangkor bagi memastikan pelancong dapat bercuti di Pulau Pangkor,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, jumlah pelancong pada hujung minggu ini masih tinggi dan hampir menyamai jumlah ketika musim cuti sekolah minggu lalu.
Katanya, sebahagian besar pelancong yang datang pada hujung minggu merupakan pelancong yang melakukan perjalanan pergi dan balik pada hari sama tanpa bermalam.
“Namun, jumlah pelancong yang bermalam di Pangkor masih tinggi. Kami sebagai pihak yang terlibat dalam sektor pelancongan di sini gembira melihat kedatangan pelancong kekal tinggi walaupun jerebu.
“Kami berharap masalah jerebu yang melanda negara segera berakhir,” katanya.
Sementara itu, pelancong dari Johor, Diana Md. Daud, 25, berkata, dia bersama rakan-rakannya memilih bercuti selama tiga hari dua malam dan tidak begitu bimbang dengan keadaan jerebu ketika ini.
Katanya, keadaan jerebu yang semakin baik, termasuk bacaan IPU di Manjung yang berada pada tahap sederhana hari ini berbanding tahap tidak sihat semalam, turut meyakinkan mereka untuk meneruskan percutian. – UTUSAN
The post Pangkor tetap jadi tumpuan appeared first on Utusan Malaysia.





