
PETALING JAYA: Semua sekolah rendah dan menengah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lubok Antu dan PPD Kanowit ditutup sementara berkuat kuasa serta-merta hari ini akibat jerebu.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang direkodkan setakat pukul 9 pagi tadi.
Menurutnya, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan berdasarkan ketetapan dalam Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 8 Tahun 2016 mengenai garis panduan pengurusan pengajaran dan pembelajaran akibat bencana.
“Bagi sekolah yang terletak berhampiran daerah yang merekodkan bacaan IPU melebihi 200, guru besar dan pengetua boleh mempertimbangkan pelaksanaan PdPR dengan mengambil kira faktor kesihatan dan keselamatan murid,” katanya dalam kenyataan hari ini.
JPN Sarawak berkata, guru besar dan pengetua boleh mengambil tindakan bagi persediaan membuka semula sekolah sekiranya trend bacaan IPU menunjukkan penurunan kepada bawah 200.
Menurut JPN Sarawak, pihak sekolah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa.
Katanya, semua institusi pendidikan di bawah seliaan JPN Sarawak turut dinasihatkan supaya mematuhi garis panduan pelaksanaan aktiviti luar ketika cuaca panas yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.
“Institusi pendidikan juga perlu peka dengan perkembangan semasa dengan merujuk portal rasmi Jabatan Alam Sekitar menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS).
“Pemantauan perlu dilakukan terhadap tahap IPU di kawasan atau daerah masing-masing serta mematuhi saranan Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan murid dan warga institusi pendidikan,” katanya. – UTUSAN
The post Sekolah di Lubok Antu, Kanowit ditutup akibat jerebu appeared first on Utusan Malaysia.






