BALIK PULAU - Kanak-kanak lelaki yang maut dalam kejadian di sebuah kondominium di Teluk Kumbar di sini malam tadi dipercayai memanjat kerusi berhampiran tingkap ruang tamu rumahnya sebelum terjatuh dari tingkat 24 bangunan kediaman berkenaan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, kanak-kanak warga tempatan itu ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah dan pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan awal pagi tadi.
"Siasatan awal mendapati, ketika kejadian mangsa berada di rumah bersama dua adik-beradiknya yang sedang tidur, manakala bapanya keluar sebentar atas urusan kerja dan ibu mangsa pula berada di luar negeri atas urusan pekerjaan.
''Mangsa dipercayai terjaga daripada tidur sebelum memanjat sebuah kerusi yang berada berhampiran tingkap ruang tamu dan kemudiannya terjatuh,'' katanya di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian oleh pasukan forensik polis tidak menemukan sebarang unsur atau tanda perlakuan jenayah.
Anuwal berkata, mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian, dan kes disiasat di bawah Seksyen 33(A) Akta Kanak-Kanak 2001.
Terdahulu, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari unit kediamannya di tingkat 24, sebuah kondominium di Teluk Kumbar, malam tadi.
Jenazah kanak-kanak itu dibawa pulang ke Petaling Jaya, Selangor untuk urusan pengebumian selepas selesai proses bedah siasat.- Bernama





