Pantau bekalan di Tuaran, baiki jalan berhampiran tamu Weston

17 Oct 2025 • 4:31 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

JABATAN Air kini memantau bekalan air ke sebuah kawasan komersial di Tuaran dan pada masa sama membaiki jalan berhampiran kawasan tamu (pasar mingguan) di Weston yang digali sebelum ini bagi membaiki paip bocor.

Tindakan itu diambil susulan aduan mengenai masalah bekalan air di kawasan komersial berkenaan serta keadaan jalan yang menyukarkan pemandu di Weston.

Pengusaha sebuah restoran berhampiran kedai bajet U Plus di Jalan Marabahai Spur mengeluh kerana paip di premisnya sering kering.

Katanya beliau terpaksa menutup operasi restoran beberapa kali akibat gangguan bekalan air.

Sementara itu seorang peniaga di Beaufort memaklumkan mengenai permukaan jalan yang mendap di laluan menuju ke kawasan tamu.

Beliau berkata bahagian jalan yang tidak rata seluas kira-kira tiga kaki persegi itu menyukarkan pergerakannya untuk ke gerai.

Kedua-dua individu berkenaan menghubungi Hotline dan memberikan maklumat berkaitan aduan mereka yang kemudiannya disalurkan kepada jabatan berkenaan.

Jurucakap Jabatan Air berkata hasil pemerhatian mendapati tekanan air di beberapa premis sekitar Jalan Marabahai Spur adalah rendah manakala ada tempat yang langsung tidak menerima bekalan.

“Selain terletak di hujung saluran pengagihan banyak bangunan di kawasan ini juga dibina di kawasan yang lebih tinggi,” katanya.

Kawasan komersial U PLUS terletak kira-kira 3.2 kilometer dari pekan Tuaran.

“Kami difahamkan pengusaha restoran itu tidak menerima bekalan air selama lebih sebulan baru-baru ini. Namun perkara itu tidak benar,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa bekalan air di kawasan tersebut bersifat berselang-seli sejak beberapa bulan lalu di mana pengguna kehilangan bekalan selama beberapa jam ketika “waktu puncak.”“Kami sedang merangka strategi untuk menambah baik keadaan ini.

“Sebaik rancangan dimuktamadkan ia akan dikemukakan ke ibu pejabat untuk pertimbangan pengurusan tertinggi bagi menilai keberkesanan pelaksanaannya,” katanya.

Sementara itu katanya lori tangki akan dihantar ke kawasan komersial U PLUS ketika tempoh kritikal.

“Kami juga telah mengingatkan kakitangan supaya tidak cuai memeriksa paip utama ke kawasan tersebut bagi memastikan pengguna menerima sedikit bekalan air.” ujarnya.

Bagi kes di kawasan tamu Weston pula jurucakap jabatan itu berkata lapisan simen telah ditampal di bahagian jalan yang tidak rata.

Seorang lagi jurucakap agensi berkenaan berharap langkah sementara itu dapat memberi kelegaan kepada pemandu sementara mereka mendapatkan premix untuk menampal jalan secara kekal.

Katanya ini merupakan kali kedua juruteknik jabatan berkenaan turun ke lokasi tersebut.

“Jalan itu pernah digali sebelum ini untuk membaiki paip rosak di bawahnya,” katanya.

Menurut beliau kerja menurap semula tidak dapat dilakukan serta-merta selepas pembaikan paip kerana tanah perlu dipadatkan terlebih dahulu.

“Jika bitumen digunakan terlalu awal selepas kerja pembaikan risiko untuk berlaku mendapan di bahagian tersebut adalah tinggi,” jelasnya.

Jurucakap itu berkata kontraktor telah menurap semula bahagian jalan berkenaan beberapa bulan lalu selepas mengesahkan tiada lagi air yang naik ke permukaan.

“Kakitangan kami mendapati air hujan sering bertakung di bahagian itu dan mengesyaki masalah sebenar mungkin berpunca daripada sistem perparitan yang perlu ditangani oleh pihak berkuasa berkaitan,” katanya.