
Tuaran: Seorang lelaki cedera selepas tersepit di dalam kereta dalam kemalangan di Jalan Tamparuli - Ranau berhampiran Pekan Nabalu, Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran Mohammad Nor Amit berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 3.32 pagi.
Katanya, seramai tujuh anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi dengan satu jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Sebaik tiba di lokasi pasukan mendapati terdapat dua mangsa terlibat kemalangan dan salah seorangnya lelaki berusia 38 tahun tersepit di bahagian penumpang hadapan.
“Pasukan bomba mengeluarkannya dan memberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital Tuaran bagi rawatan lanjut,” katanya.
Menurut Mohammad Nor, seorang lagi mangsa, pemandu berusia 29 tahun dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pasukan bomba turut memeriksa kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang terbabit kemalangan dan sekitar lokasi bagi memastikan tiada punca bahaya lain.
“Punca kejadian masih dalam siasatan manakala operasi ditamatkan pada jam 4.58 pagi,” ujarnya.



