
TERIMA kasih diucapkan kepada pihak kerajaan khususnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menaikkan kadar gaji minimum para pekerja dalam negara kepada RM2,000 daripada RM1,700 sebulan dalam pembentangan Belanjawan 2027.
Langkah berkenaan bakal memberi manfaat secara langsung kepada lebih empat juta pekerja di seluruh negara.
Bagaimanapun perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mencatatkan hasil jualan di bawah RM50 juta diberi pengecualian daripada pelaksanaan kadar baharu tersebut.
Kerajaan juga akan memperkenalkan gaji minimum sebanyak RM2,500 sebulan bagi graduan dan pekerjaan separa mahir sebagai sebahagian daripada pembaharuan kerangka pendapatan pekerja.
Kadar berkenaan ditetapkan sebagai permulaan bagi memastikan pendapatan pekerja lebih setimpal dengan kelayakan dan kemahiran mereka. Kali terakhir kadar gaji minimum ini dinaikkan adalah pada 1 Februari 2025 yang lalu kepada RM 1,700 daripada RM1,500 sebelumnya.
Keputusan untuk menaikkan kadar gaji minimum ini dapat memastikan setiap pekerja dalam negara kita dapat menikmati kehidupan yang selesa serta dapat menampung peningkatan kos sara hidup dan suasana ekonomi yang semakin mencabar akibat daripada keadaan geopolitik dunia yang tidak menentu dan perang yang berlaku di Timur Tengah antara Amerika Syarikat dan Iran.
Namun, pihak kerajaan perlu melakukan proses pemantauan yang ketat terhadap proses pelaksanaan kadar gaji minimum baharu ini kelak.
Ini adalah amat penting bagi memastikan tiada majikan yang ingkar untuk melaksanakan kadar gaji minimum berkenaan dan tiada pekerja yang dinafikan hak mereka untuk menerima gaji minimum selaras dengan pengumuman yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan melalui proses pembentangan Belanjawan 2027.
Terdapat pelbagai isu yang melibatkan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum (PGM) dalam negara kita sebelum ini dimana ada sesetengah pekerja yang mengadu majikan mereka masih belum sudi untuk melaksanakannya serta aduan daripada pekerja berhubung tindakan sesetengah pihak majikan yang memotong elaun dan pengurangan faedah sedia ada bagi mengurangkan kos kenaikan gaji minimum baharu.
Semua isu berbangkit ini perlu dipandang serius dan disiasat dengan segera bagi mengelakkan timbulnya masalah lain serta mencetuskan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.
Oleh itu, pihak majikan perlu memandang serius terhadap pelaksanaan kadar gaji minimum ini dalam negara kita. Jika tidak, tindakan keras mengikut peruntukan undang–undang sedia ada boleh dikenakan kepada mereka.
Mana–mana pekerja yang merasakan diri mereka teraniaya serta tidak mendapat hak yang sepatutnya selaras dengan pengumuman kadar gaji minimum ini perlu dapatkan bantuan daripada mana–mana pihak yang berkaitan dan membuat aduan kepada pihak Jabatan Tenaga Kerja dan Sekretariat Majlis Perundingan Gaji Negara, Kementerian Sumber Manusia dengan segera. – UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Profesor Madya,
Fakulti Syariah & Undang–Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
The post Pantau ketat kadar gaji minimum RM2,000 sebulan appeared first on Utusan Malaysia.






