KOTA TINGGI - “Papa, cepatlah... marilah solat.”
Itu antara kata-kata terakhir Puteri Nur Afiyah Qalesya Mustafa, 5, kepada bapanya, Mustafa Saleh pada malam sebelum kanak-kanak itu ditemukan maut dipercayai lemas di Kampung Padang, Tanjung Sedili di sini pada Isnin.
Neneknya, Mahani Mad Som, 63, berkata, ajakan cucunya untuk menunaikan solat Isyak bersama menjadi antara kenangan terakhir keluarga sebelum Puteri Nur Afiyah Qalesya ditemukan meninggal dunia kira-kira jam 9.30 pagi.
Menurutnya, cucunya tidak pernah berbuat demikian sebelum ini, namun pada malam berkenaan berkali-kali mengajak bapanya untuk solat.
“Dia tak pernah cakap macam itu. Memang malam tadi pertama kali saya dengar dia berkali-kali ajak bapanya solat bersama,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang di sini pada Isnin.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut dipercayai lemas selepas dicampakkan ke sungai oleh bapa saudaranya di Kampung Padang, Tanjung Sedili.
**media[3654686]**
Mengimbas kejadian, Mahani berkata, mereka sempat bersarapan bersama sebelum cucunya meminta izin untuk bermain di luar rumah.
“Puteri kemudian bermain buaian dan selepas itu saya mula tercari-cari dia. Saya tanya bapanya tetapi dia juga tak tahu.
“Saya rasa tak sedap hati lalu ajak menantu pergi ke sungai sebelum ternampak selipar Puteri atas tebing,” ujarnya.
Menurut Mahani, cucunya kemudian ditemukan dalam keadaan tertiarap di tebing sungai yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah mereka.
Katanya, Puteri Nur Afiyah Qalesya merupakan anak bongsu daripada dua beradik dan sangat rapat dengannya.
“Dia budak yang cerdik. Setiap kali pulang ke kampung, macam-macam perkara dia akan ceritakan kepada saya,” katanya.



