
KOTA TINGGI – Rasa tidak sedap hati seorang nenek akhirnya membawa kepada penemuan jasad cucunya yang berusia lima tahun, dipercayai dicampak ke dalam sungai berhampiran rumah mereka di Kampung Padang, Tanjung Sedili di sini, pagi tadi.
Mahani Mad Som, 63, berkata, kehilangan cucunya, Putri Nur Afiyah Qalesya Mustafa, disedari selepas kanak-kanak itu yang sebelum itu bermain di buaian di hadapan rumah tiba-tiba tidak kelihatan.
“Awalnya dia duduk di depan rumah, dia makan jajan di buaian. Tengok-tengok nampak buaian kosong, buaian sudah tidak ada orang.
“Ketika itu hati saya sudah rasa tidak sedap. Bila saya tanya bapa dia, dia kata tidak ada di depan,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya hari ini.
Menurut Mahani, perasaan tidak tenteram itu mendorongnya bersama bapa mangsa untuk mencari cucunya di sekitar kawasan rumah.
Katanya, pencarian mereka membawa kepada penemuan selipar milik Putri Nur Afiyah di tepi sungai yang terletak kira-kira 300 meter dari kediaman mereka.
“Memang hati orang tua ini resah. Kita tidak nampak dia tetapi selipar budak itu ada di dalam air. Bila kami duduk merenung dan tengok ke bawah air, rupa-rupanya nampak sesuatu. Cucu sudah tertiarap lemas dekat tepi sungai itu,” katanya. -KOSMO! ONLINE
The post Nenek rasa tidak sedap hati, temui jasad cucu di sungai appeared first on Kosmo Online.





