'Papan iklan dirosakkan, bendera dibakar tapi kempen berjalan dengan tenang' - Fuziah

LocalPolitics
2 Jul 2026 • 12:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Papan iklan dirosakkan, bendera dibakar tapi kempen berjalan dengan tenang' - Fuziah
Fuziah (kiri) melihat resit pembayaran bantuan subsidi Budi Madani Diesel di Stesen Minyak Petronas Bandar Dato Onn pada Khamis.

JOHOR BAHRU – Momentum kempen Pakatan Harapan (PH) sepanjang minggu pertama Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 semakin kukuh, apabila calon-calon parti itu mula mendapat rentak, selain menerima maklum balas positif khususnya daripada pengundi muda.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, kempen yang digerakkan di semua kawasan menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan setiap calon mengadakan lebih 10 program sehari.

Katanya walaupun terdapat calon yang pertama kali bertanding, mereka kini semakin menyesuaikan diri dengan rentak kempen yang padat.

"Alhamdulillah, kempen kita semakin mendapat kekuatan dan sokongan. Ada calon yang pertama kali bertanding, tetapi mereka sudah mendapat rentak.

"Saya lihat secara purata mereka mengadakan lebih 10 program sehari, bermula seawal subuh sehingga lewat malam," katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kempen calon PH pada PRN Johor.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelaksanaan mekanisme bantuan subsidi budi madani diesel di Stesen Minyak Petronas Bandar Dato Onn di sini pada Khamis.

Mengulas maklum balas rakyat, Fuziah berkata, penerimaan terhadap PH setakat ini adalah positif.

Namun katanya dinamik kempen berbeza mengikut kawasan yang ditandingi.

"Setiap kawasan mempunyai dinamik yang berbeza, tetapi setakat ini maklum balas yang kita terima adalah positif.

"Terutamanya dalam kalangan orang muda kerana mereka merupakan pengundi kali pertama dan mahu mendengar sendiri apa yang kita tawarkan," katanya.

Dalam pada itu, Fuziah mengakui terdapat beberapa insiden kecil membabitkan bahan kempen seperti poster dikoyakkan, papan iklan dirosakkan dan bendera dibakar.

"Ada sedikit insiden seperti poster koyak, papan iklan rosak dan bendera dibakar, tetapi secara keseluruhannya kempen berjalan dengan tenang," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved