Para SUKMA 2026: Boling Selangor sasar tujuh emas, yakin mampu lebih

9 Sep 2026 • 2:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Para SUKMA 2026: Boling Selangor sasar tujuh emas, yakin mampu lebih

SUBANG JAYA, 9 SEPT: Kontinjen para boling Selangor menyasarkan sekurang-kurangnya tujuh pingat emas pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Jurulatih merangkap Pengurus Para Boling Selangor, Shaikh Muhammad Haznan Shaikh Hashim, berkata kesungguhan yang ditunjukkan atlet sepanjang persiapan memberi keyakinan kepada pasukan untuk melangkaui sasaran ditetapkan.

Menurutnya, atlet para boling Selangor dilihat begitu bersemangat dan teruja untuk beraksi, selain memiliki adrenalin tinggi sepanjang temasya berlangsung.

“Kita sasarkan tujuh emas, tetapi saya rasa kita boleh dapat lebih daripada itu berdasarkan semangat dan prestasi yang ditunjukkan atlet.

“Atlet sangat bersemangat, teruja dan adrenalin mereka tinggi untuk temasya kali ini,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut beliau, cabaran utama dalam mengendalikan atlet para adalah memastikan mereka dapat mengekalkan fokus sepanjang pertandingan.

Katanya, pendekatan yang digunakan bukan dengan memberi tekanan berlebihan, sebaliknya komunikasi secara berterusan penting bagi memastikan atlet berada dalam keadaan terbaik.

“Cabaran melatih mereka terutama untuk mengekalkan fokus. Kita tidak boleh terlalu memaksa sebaliknya perlu sentiasa berkomunikasi dengan mereka.

“Mereka ini luar biasa dan kita perlu faham keadaan serta keperluan setiap atlet sebab mereka semua berbeza-beza dan istimewa,” katanya.

Para SUKMA yang berlangsung sejak 5 September lalu mempertandingkan 369 acara membabitkan 10 jenis sukan iaitu renang, olahraga, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang, memanah, catur, boccia dan powerlifting.

Kontinjen Selangor diketuai Lim Yi Wei dengan sasaran 60 pingat emas, selain memburu gelaran juara keseluruhan pada edisi kali ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved