Para SUKMA: Empat acara diteruskan semula, langkah pencegahan jerebu diperketat

7 Sep 2026 • 12:40 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Para SUKMA: Empat acara diteruskan semula, langkah pencegahan jerebu diperketat

SHAH ALAM, 7 SEPT: Empat acara Para Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang sebelum ini ditangguhkan susulan jerebu diteruskan dengan langkah pencegahan dan pemantauan berterusan bagi menjaga keselamatan dan kesihatan atlet serta pegawai.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Ketua Kontinjen Para SUKMA Selangor 2026 bersama Jawatankuasa Khas Teknikal Para SUKMA Selangor 2026 hari ini, melibatkan Para Lawn Bowls, Para Memanah, Para Renang dan Para Olahraga.

Beliau berkata, mesyuarat itu memutuskan pertandingan Para Lawn Bowls, Para Memanah dan Para Renang diteruskan dengan beberapa langkah pencegahan bagi mengurangkan pendedahan atlet dan pegawai kepada jerebu.

“Atlet dan pegawai diwajibkan memakai pelitup muka N95 sepanjang berada di luar bangunan atau kenderaan, mereka juga diingatkan perlu mengurangkan tempoh pendedahan kepada jerebu dengan berada di kawasan tertutup ketika tidak bertanding atau berehat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Image from: Para SUKMA: Empat acara diteruskan semula, langkah pencegahan jerebu diperketat
EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi bercakap kepada media selepas SAY ASPIRE Edisi ke-7 di Sunway Resort Hotel, Subang Jaya pada 2 September 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Selain itu katanya, pasukan perubatan setiap delegasi perlu menjalankan saringan kesihatan serta memastikan atlet yang rentan terhadap jerebu tidak menyertai pertandingan.

Menurutnya atlet yang bertanding perlu mengisi borang perakuan untuk bertanding dalam keadaan jerebu manakala atlet yang tidak bertanding tidak dibenarkan berada di venue pertandingan atau di kawasan terbuka.

Sementara itu Mohd Najwan yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SUKMA XXII & Para SUKMA Selangor 2026 berkata, acara Para Olahraga diteruskan dengan berpandukan langkah pencegahan yang ditetapkan.

"Tempoh pertandingan bagi setiap sesi juga dipendekkan kepada maksimum dua jam, iaitu dari 8 hingga 10 pagi, 4 hingga 6 petang dan 8 hingga 10 malam," katanya.

Majlis penyampaian pingat pula akan diadakan di Dewan Kompleks Sukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam bermula sesi petang ini dan dilaksanakan sebaik sahaja setiap sesi pertandingan tamat.

Mesyuarat itu turut menetapkan semua acara sukan akan dibatalkan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200.

Semalam, Mohd Najwan mengumumkan empat acara berkenaan ditangguhkan selepas IPU mencecah 169 dan berada pada tahap tidak sihat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved