amree23/09/2026 - 12:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Sept — Paragon Globe Berhad memperkemas strategi pertumbuhan di Johor dengan beralih daripada pendekatan pembangunan hartanah konvensional kepada pembinaan ekosistem ekonomi bersepadu yang menggabungkan industri, kediaman, komersial dan pembangunan menjana pendapatan.
Langkah itu turut melibatkan cadangan pembangunan taman perindustrian bernilai RM1.69 bilion di Sedenak, Kulai, dalam kawasan utama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), selain pembangunan ekosistem automotif dan infrastruktur digital di koridor pertumbuhan Johor.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Edwin Tan Pei Seng berkata, kumpulan kini menilai tanah bukan sekadar berdasarkan apa yang boleh dibangunkan di atas sesuatu tapak, tetapi turut melihat aktiviti ekonomi, pengguna utama serta perniagaan sokongan boleh diwujudkan di sekitarnya.
"Pendekatan ini diterapkan menerusi PGB-GSP AutoPark – Integrated Automotive Industrial Hub di Iskandar Puteri, dengan GSP Automotive sebagai pemain utama berpotensi menarik pembekal, syarikat logistik dan perniagaan sokongan ke kawasan itu," katanya dalam kenyataan.
Sementara Paragon Globe pula jelasnya, menyediakan tanah, perancangan dan keupayaan pembangunan serta pelaksanaan tempatan, manakala GSP menyumbang pengalaman pembuatan, rangkaian pembekal dan hubungan industri bagi membentuk ekosistem automotif tersebut.
Strategi sama turut diterapkan dalam aktiviti kitar semula modal apabila ia mencadangkan pelupusan tanah di Tanjung Kupang bernilai RM398.11 juta kepada pemain infrastruktur pusat data (DC), manakala tanah berhampiran dibangunkan bagi menyokong ekosistem automotif PGB-GSP AutoPark.
Edwin menambah, kedua-dua pembangunan itu mencerminkan usaha kumpulan menempatkan aktiviti ekonomi berbeza dalam koridor pertumbuhan yang sama, termasuk infrastruktur digital serta pembuatan automotif dan rantaian bekalannya.

"Di Sedenak, Paragon Globe sedang meneroka kedudukan tanah berpotensi menyokong konsep taman perindustrian, merangkumi kilang industri, komponen komersial dan penginapan pekerja, namun pembangunan itu masih di peringkat awal serta tertakluk kelulusan berkaitan," katanya.
Beliau menegaskan tanah di Sedenak perlu dilihat sebagai peluang pembangunan strategik jangka panjang dan bukannya penyumbang pendapatan serta-merta, dengan kumpulan mengambil pendekatan secara berperingkat mengikut keadaan pasaran dan keupayaan pembiayaan.
Bagaimanapun kumpulan itu memasuki FY27 dengan kedudukan operasi lebih kukuh apabila hasil suku pertama berakhir 30 Jun 2026 meningkat 69.8% tahun ke tahun (YoY) kepada RM94.5 juta, manakala keuntungan boleh diagihkan kepada pemegang saham naik 56.4% kepada RM24.9 juta.
Perkembangan positif tersebut ujar Edwin, dipacu aktiviti pembangunan hartanah termasuk jualan tanah di Tanjung Kupang, kilang berkembar di Pekan Nenas dan apartmen servis di Johor Bahru.
"Setakat 30 Jun 2026, kumpulan mempunyai tunai dan baki bank kira-kira RM185.9 juta, manakala nisbah penggearan bersih bertambah baik kepada hanya sekitar 0.73 kali daripada sebanyak 1.01 kali pada akhir FY2026," jelas beliau.
Paragon Globe akan terus mengimbangi pertumbuhan dengan kecairan dan disiplin penggunaan modal, termasuk melaksanakan projek secara berperingkat serta mengitar semula modal apabila sesuai bagi menyokong kehadirannya di koridor pertumbuhan utama Johor. - DagangNews.com



