Paralimpik Paris 2024: Ziyad Raih Perak, Padam ‘Episod Gelap’ Edisi Tokyo 2020

4 Sep 2024 • 9:43 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Jaguh olahraga para negara, Muhammad Ziyad raih perak dalam acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) Sukan Paralimpik Paris 2024 hari ini.

Ziyad raih perak!

image is not available

Foto: Bernama

Menurut laporan Bernama, kejayaan pada edisi kali ini sekali gus memadam episod gelap dilalui pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 apabila penyertaannya dibatalkan kerana lewat ke bilik panggilan.

Muhammad Ziyad berkata, walaupun tidak merampas semula pingat emas tetapi dia berpuas hati dapat kembali menaiki podium selepas kali terakhir melakukannya di Rio 2016.

“Alhamdulillah, untuk sumbang perak ia lebih baik daripada tiada langsung. Bagi saya memang harapan tinggi untuk pingat emas namun saya tidak rasa kecewa sangat kerana sudah cuba beri terbaik tadi.

“Kisah yang menghantui saya akhirnya sudah habis. Lega rasanya kerana detik tersebut memang menghantui saya sejak tiga tahun lepas hingga saya tertekan dan kini saya dapat buktikan dengan pingat perak, macam mimpi pun ada,” katanya.

image is not available

Foto: Bernama

Pada aksi akhir, atlet berusia 34 tahun itu meraih kejayaan dengan catatan 17.18 meter (m) di belakang Oleksandr Yarovyi dari Ukraine, yang melakukan rekod dunia baharu 17.61m untuk emas.

Rakan sepasukannya, Maksym Koval yang melakukan lontaran sejauh 16.99m terpaksa berpuas hati dengan gangsa.

image is not available

Foto: Bernama

Sementara itu, Muhammad Ziyad mempunyai sasaran bagi membawa pulang pingat emas buat Malaysia pada Sukan Paralimpik 2028 di Los Angeles nanti.

“Saya tidak pernah terfikir untuk pencen lagi. Mungkin saya akan beraksi lagi untuk Sukan Paralimpik seterusnya dan bergantung pada keadaan badan saya ketika itu untuk cuba buat terbaik.

“Selepas ini, saya akan berehat sebentar dan meluangkan masa bersama keluarga,” ujarnya.

Sumber: Bernama (Amiril Muttaqien Meketar)