Paris 2024: Atlet Jepun Dakwa Barang Kemas, Wang Tunai Miliknya Dicuri

31 Jul 2024 • 12:02 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Paris 2024: Atlet Jepun Dakwa Barang Kemas, Wang Tunai Miliknya Dicuri

PARIS — Seorang atlet ragbi Jepun mendakwa barangan kemas dan wang tunai miliknya telah dicuri di dalam bilik di perkampungan atlet Sukan Olimpik Paris 2024, lapor Kyodo News.

Atlet dari negara matahari terbit terbabit telah melaporkan kes kecurian itu semalam kepada pihak polis selepas mendapati cincin perkahwinan, rantai dan wang tunainya hilang sewaktu kembali ke biliknya.

Susulan itu, Jawatankuasa Olimpik Jepun telah menasihatkan dan memberi amaran kepada atlet dan kakitangan pasukan supaya berhati-hati dengan barang berharga mereka, berikutan insiden itu.

Tambahan lagi, terdapat banyak laporan kecurian berlaku di perkampungan atlet di temasya berkenaan.

Terdahulu, pemenang pingat emas gaya bebas BMX lelaki, Logan Martin turut menjadi mangsa kes kecurian baru-baru ini, lapor BERNAMA.

Atlet berbasikal dari Australia berusia 30 tahun itu berkongsi gambar dan video kejadian berkenaan menerusi media sosial miliknya semalam, yang memaparkan tingkap van sewanya dipecahkan di ibu negara Belgium itu.

“Mereka mencuri empat beg dan meja urut, namun terima kasih kepada penjejak di dalam beg basikal saya, kami menjumpai dua daripada empat bag serta meja urut berkenaan di sebuah taman.

“Saya kehilangan dompet, beg galas dan beberapa barangan, tetapi secara keseluruhan ia mungkin lebih teruk.

“Nasib baik, kebanyakan barangan ada di dalam bilik kami, dan kami berjaya mendapatkan semula banyak barang.

“Amat dikesali apabila orang merasakan mereka perlu melakukan perbuatan seperti ini,” kongsi juara dunia 2017 dan 2021 dalam hantaran Facebook.

Bagaimanapun, gambar dan video yang tersebar dalam talian itu, didakwa berlaku di Paris.

Acara gaya bebas BMX Paris 2024 dijadualkan berlangsung pada Selasa dan Rabu (30-31 Julai) di Place de la Concorde.

Sumber: Kyodo News