
KUALA LUMPUR - Polis menahan tiga lelaki disyaki menyerang dan mengugut seorang wanita dalam kejadian yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan kutipan caj parkir secara haram berhampiran Dewan Komuniti OUG, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 2.38 petang daripada seorang wanita tempatan berusia 38 tahun yang mendakwa didatangi ketiga-tiga suspek ketika berada di lokasi kejadian.
Menurutnya, salah seorang suspek mengeluarkan kata-kata kesat terhadap mangsa sebelum menumbuk kepalanya.
“Pengadu turut diugut akan dicederakan, selain suspek berkenaan didakwa mengancam untuk menimbulkan masalah di tempat kerja pengadu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fadil berkata, hasil tindakan susulan, polis menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 26 tahun.
Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau.
Suspek pertama direman selama tiga hari sehingga 18 Ogos, manakala dua lagi direman sehari bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Fadil berkata, Polis Kuala Lumpur akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan awam serta memelihara ketenteraman masyarakat.
Insiden berkenaan sebelum ini mendapat perhatian selepas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, memuat naik rakaman video di TikTok yang didakwa menunjukkan kejadian serangan tersebut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu atau sebarang kegiatan jenayah berkaitan diminta menghubungi talian hotline Polis Brickfields di 03-2297 9222, talian hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999, atau mana-mana balai polis berhampiran. - Getaran, 16 Ogos 2026






