Ugut bunuh isteri, bekas polis didenda RM4,500 

16 Aug 2026 • 2:32 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ugut bunuh isteri, bekas polis didenda RM4,500 

TUMPAT: Seorang bekas anggota polis didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mengugut untuk membunuh isterinya pada 8 Ogos lalu.

Muhd. Sirrul Akmal Rasali, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya berusia 42 tahun dengan mengugut untuk membunuh mangsa menyebabkan wanita itu berasa gerun dan takut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu di sini, kira-kira pukul 9 pagi pada 8 Ogos lalu. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pengadu yang juga isteri tertuduh membuat laporan polis selepas suaminya mengamuk di dapur dan bertindak agresif. Ketika kejadian, tertuduh mengeluarkan kata-kata ugutan mahu membunuh mangsa, selain perbuatan itu disaksikan ibu kandung mangsa dan anak kandungnya.

Bimbang terhadap keselamatan dirinya, mangsa kemudian menghubungi Bilik Gerakan Ibu Ppejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.

Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Afiqah Amran yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya mengalami masalah mental dan sedang mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

Afiqah turut memaklumkan tertuduh merupakan ketua keluarga yang perlu menyara dua anak dengan pendapatan hanya RM50 sehari sebagai buruh. Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Megat Asyraf Megat Ishak memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh. – UTUSAN

 

The post Ugut bunuh isteri, bekas polis didenda RM4,500  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved